KUALA LUMPUR – Pasukan Penang FC mempamerkan kebangkitan luar biasa selepas mencuri satu mata berharga selepas mengikat Kuala Lumpur City (KL City) 2-2 pada aksi pertama Liga Super sebentar tadi.
Pada aksi tersebut, skuad Penang FC yang dikendalikan oleh Chong Yee Fatt membariskan kesebelasan terbaik dengan kehadiran pemain import seperti Adriano, Rafael Vitor dan Ousmane Fane.
Sementara itu, KL City yang dibimbing oleh Bojan Hodak turut meletakkan skuad terkuat termasuk kapten pasukan yang juga pemain naturalisasi baharu Malaysia, Paulo Josue dan bekas penyerang Selangor FC, Herlison Caion.
Seperti dijangka, skuad Warga Kota berjaya meraih gol pertama hasil jaringan cantik menerusi sepakan percuma yang dilakukan pada minit ke-14.
Skuad Harimau Kumbang semakin tempang apabila diarahkan bermain 10 pemain selepas pemain pertahanan, A. Namathevan dilayangkan kad merah pada awal babak kedua.
Nasib pasukan pelawat bertambah parah apabila Josue meledak gol kedua peribadi selepas menyudahkan hantaran Haqimi Azim Rosli hasil serangan balas pantas pada minit ke-71.
Namun, pemain gantian Penang FC, Hadin Azman meniupkan semangat kebangkitan pasukan apabila merapatkan jurang dengan kedudukan 1-2 berselang dua minit kemudian.
Tekanan bertali arus yang dipamerkan akhirnya membuahkan hasil apabila Giovane Gomes menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-85 dengan kedudukan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan. – KOSMO! ONLINE