MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag menghamburkan pujian terhadap barisan pemainnya selepas menyingkirkan Barcelona pada pusingan playoff Liga Europa menerusi kemenangan agregat 4-3.
Pada aksi timbal balik yang berlangsung di Old Trafford awal pagi semalam, United mencatat kemenangan 2-1 hasil jaringan Fred dan Antony, manakala gol tunggal Barcelona dijaringkan Robert Lewandowski.
Ten Hag tanpa berselindung mengakui, keputusan itu merupakan kemenangan terbesar yang dilakar sejak mengambil alih United meskipun pernah menewaskan pasukan-pasukan seperti Arsenal dan Liverpool sebelum ini.
“Saya fikir ini adalah kemenangan terbesar sejak dilantik sebagai pengurus United. Kami pernah menewaskan Arsenal dan Liverpool, tetapi Barcelona adalah pendahulu La Liga, jadi kemenangan ini lebih bermakna.
“Bagaimanapun, untuk perlawanan hari ini (semalam), aksi di separuh masa pertama agak mendatar walaupun kami mencipta banyak peluang menjaringkan gol. Ia tidak sepatutnya berlaku kerana kami sedang ketinggalan 0-1,” katanya.
Pada masa sama, pengendali dari Belanda itu memuji impak diberikan Antony dan Alejandro Garnacho selepas dua pemain tersebut tidak menunjukkan rasa takut selepas masuk sebagai pemain gantian.
“Semua orang tahu kami akan mendapat kelebihan dari segi kepantasan dengan kemasukan Antony dan Garnacho. Saya juga gembira kerana mereka langsung tidak tunjukkan perasaan gentar berdepan pasukan seperti Barcelona,” ujar Ten Hag. – AGENSI