KUALA LUMPUR- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memerlukan bajet berjumlah lebih RM86 bilion termasuk menjaga kebajikan pekerja serta menambah bilangan pegawai yang berkaitan dengan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia susulan kerja yang meluas sehingga menyebabkan seorang pegawai terpaksa mengambil sehingga tujuh tugasan berlainan.
“Daripada tugas pentadbiran kepada penganjuran dan penganjuran acara kepada membantu mangsa membuat laporan polis kepada memberi rundingan untuk mangsa. Ini adalah beberapa tugas yang ditanggung oleh pegawai bertugas setiap hari
“Kami menjangka lebih 86 bilion diperlukan untuk menubuh jabatan berkenaan dan ia perlu dilakukan secara sedikit demi sedikit.
“Dalam pada itu, kami sudah melahirkan serta memperkenalkan garis panduan baharu kepada pegawai-pegawai agar tugas dijalankan lebih mantap berbanding sebelum ini,” jelasnya pada sidang media ketika menghadiri Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM bertempat di The Grand Campbell Hotel, di sini tengah hari.
Seterusnya, beliau berkata, pihaknya bercadang menubuhkan jabatan berkenaan bermula pada tahun ini namun, ia juga bergantung kepada bajet yang diperuntukan oleh kerajaan.
Mengulas lanjut Program Keusahawanan Bangkit @ KPWKM, katanya, seramai 16,950 orang wanita telah mendapat manfaat bantuan MyKasih Kapital dan menjalankan perniagaan yang mereka ceburi sejak ia mula dilancarkan.
“Bermula Januari 2023 hingga hari ini, seramai 2,180 orang peserta telah menghadiri kursus Program Wanita Bangkit@KPWKM MyKasih Kapital yang meliputi peserta dari seluruh negara.
“Hasil pemantauan selepas enam bulan, daripada 14,770 peserta, 90 peratus peserta telah meningkatkan pendapatan dari RM500 hingga RM1,000 sebulan.
“Sementara, 10 peratus lagi telah mendapat peningkatan sehingga RM 3,000 sebulan,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE.