BATU PAHAT – Ahli keluarga Ustaz Musthafa, jemaah umrah yang hilang di Mekah ketika melaksanakan ibadah itu tetap setia menanti kepulangannya di Sri Gading, dekat sini.
Mangsa, Musthafa Kamal Abdullah, 49, dikatakan mengalami demam panas pada 12 Disember lalu sebelum kehilangannya turut menjadi misteri apabila ada berita mengatakan melihat kelibatnya di beberapa kawasan tempat tumpuan umat Islam mengerjakan umrah dan haji itu.
Anak sulungnya, Mohd. Nabil, 26, berkata, tidak mengira berapa lama sekali pun, kepulangan insan tersayang itu tetap dinantikan.
“Kami yakin suatu hari nanti pintu hati ayah akan terbuka untuk kembali ke kampung halaman bersama keluarga.
“Pelbagai usaha sudah dilakukan termasuk pergi berkelana ke seluruh bandar Mekah dan kawasan yang berkemungkinan menemui ayah selama kira-kira 14 hari pada 21 Januari lalu bersama adik saya Muaz, 17, namun tetap gagal ditemui,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Berita berkaitan: Beg Cikgu Musthafa muncul selepas tiga hari hilang di Mekah
Ujarnya, selain mencari, pengedaran risalah, menggunakan khidmat pejabat kedutaan, Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) serta rombongan jemaah umrah yang bertandang di sana sudah dilakukan.
“Apa yang kami dapat hanya beberapa berita mengenai ayah yang dikatakan berada di satu-satu tempat berdekatan Kaabah namun tidak membuahkan hasil.
Mohd. Nabil dalam pada itu turut mengharapkan sekiranya ada rombongan jemaah umrah yang menemui bapanya dapat membawa pulang ke Malaysia dengan apa cara sekali pun.
Ujarnya, keluarganya turut memohon bantuan daripada pihak pejabat kedutaan serta LUTH untuk mendapatkan maklumat tentang bapanya itu.
Pada 6 Disember lalu, Musthafa yang juga guru agama di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Raja menunaikan umrah bersama anaknya, Muaz dan dijangka pulang ke Malaysia pada 18 Disember.
Namun, bapa lima orang anak itu dilaporkan hilang pada 12 Disember selepas Muaz menyedari mangsa tiada di bilik hotel di Makkah. Satu laporan polis telah dibuat di Kedutaan Malaysia di Arab Saudi berhubung kehilangan itu.