KUALA LUMPUR – Bijak menyembunyikan kisah percintaan dengan seorang usahawan hartanah, pelakon Johan As’ari mendedahkan perancangannya untuk menamatkan zaman bujang akhir tahun ini.
Katanya, hubungan yang terjalin sejak empat tahun lalu itu sudah membawa mereka ke fasa lebih serius apabila sepakat menuju ke gerbang perkahwinan.
“Kami sudah kenal lebih empat tahun bermula dengan percintaan jarak jauh kerana sebelum ini dia belajar di London dan sekarang tinggal di Perlis.
“Selepas mengenali hati budi, kami ada perancangan untuk berkahwin. Andai dia memang jodoh saya, paling cepat hujung tahun ini,” katanya yang menyuarakan keinginan memiliki empat cahaya mata.
Ditanya mengenai si pencuri hati, pelakon Juvana itu belum bersedia mendedahkan identiti wanita yang dikatakan lebih berusia sedikit daripadanya.
“Buat masa ini saya kenalkan dia sebagai ‘N’ yang berusia 39 tahun, tetapi usia bukan halangan malah kematangan itu membuatkan saya selesa berdampingan dengannya.
“Percintaan kami pun bukan macam pasangan lain kerana dia masih menguruskan perniagaan di utara tanah air. Hanya kepercayaan dan ketulusan yang membuatkan hubungan kami terus utuh.
“N juga seorang wanita yang pandai membawa diri, bukan jenis cemburu atau suka mengawal. Saya tak perlu telefon dia setiap hari kerana kami saling memahami.
“Sepanjang tempoh mengenalinya saya nampak kualiti dimiliki N yang membuatkan saya yakin dia calon suri hati saya,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada majlis pembukaan pejabat urusan KamiSempoi International Agency (KSIA), di pusat beli belah Quill City Mall, baru-baru ini
Ketika ditanya tentang kerjaya, pemilik nama lengkap Johan Arrif As’ari, 35, itu mengakui kebelakangan ini dia kerap mengikuti agensi Hadid Travel & Tours ke Tanah Suci membawa rombongan umrah.
Segalanya bermula apabila pemilik syarikat tersebut, Datuk Ady Putra membawanya mengerjakan umrah pada November tahun lalu dan sekali lagi mengundangnya pada bulan berikutnya.
“Awalnya saya diundang sebagai artis jemputan dan kemudian bulan berikutnya saya diajak lagi selama 12 hari bagi membantu dan memudahkan urusan umrah rakan seperjuangan, Beto Kusyairy dan isterinya.
“Bagi saya tawaran Hadid Travel & Tours sebagai hadiah, namun jika ada tugasan penggambaran saya tetap teruskan kerja hakiki kerana ini adalah sumber rezeki utama saya,” katanya.
Pada 12 Februari lalu, aktor yang sinonim dengan watak Botak dalam Juvana itu baru kembali dari Mekah membawa pelakon dan pengarah, Farid Kamil bersama keluarganya mengerjakan umrah. – KOSMO! ONLINE