PETALING JAYA – Kerajaan memperuntukan sebanyak RM388.1 bilion menerusi Belanjawan 2023, iaitu jumlah terbesar yang pernah diumumkan dalam usaha untuk memulihkan semula ekonomi negara daripada kadar keberhutangan yang tinggi.
Peruntukan belanjawan itu meningkat daripada RM372.3 bilion yang dibentangkan pada Oktober 2022 oleh kerajaan terdahulu sebelum Parlimen dibubarkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkannya di Dewan Rakyat semalam berkata, Belanjawan 2023 bertemakan Membangun Malaysia Madani adalah berlandaskan kepada tiga tekad iaitu pemacuan ekonomi yang terangkum dan mampan, reformasi institusi dan tatakelola bagi memulih keyakinan serta keadilan sosial untuk menyederhana kesenjangan.
“Saya memilih untuk menghidangkan belanjawan keadaan sebenar dan tidak cuba mengaburi minda rakyat dengan angka-angka yang memukau.
“Kerajaan mewarisi bebanan hutang yang terlalu tinggi. Hutang negara akan menjangkau RM1.2 trilion atau lebih 60 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2023.
“Jika dihitung hutang dan liabiliti, kita mencecah RM1.5 trilion atau 81 peratus KDNK. Bayaran khidmat hutang tahun ini juga mencecah RM46 bilion atau 16 peratus daripada hasil iaitu telah melebihi had maksimum 15 peratus yang selama ini diamalkan. Bayaran RM46 bilion ini hanyalah untuk kadar faedah atau bunga pinjaman.
“Kita di ambang tempoh kritikal dalam sejarah. Pentadbiran ini bertekad atas prinsip pertanggungjawaban untuk mengawal kedudukan fiskal termasuk menangani permasalahan hutang dan pada masa sama terus menopang pertumbuhan ekonomi yang terangkum dan mampan,” katanya yang juga merangkap Menteri Kewangan.
Beliau berkata, Belanjawan 2023 akan melibatkan peruntukan sebanyak RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion (belanja pembangunan), RM2 bilion (simpanan luar jangka) dan kerajaan menjangkakan kutipan hasil 2023 berjumlah RM291.5 bilion berbanding RM294.4 bilion tahun lalu.
Menurut beliau, meyakini prospek ekonomi domestik yang semakin mengukuh, kerajaan mengunjurkan bahawa pertumbuhan ekonomi sekitar 4.5 peratus dan beliau yakin negara akan melepasi unjuran KDNK 4.5 peratus dengan mengambil kira ikhtiar untuk melaksana pembaharuan dan reformasi pentadbiran.
“Tentunya ini didorong langkah tuntas Bajet 2023 yang akan memacu pertumbuhan lebih mampan selain keyakinan pelabur antarabangsa yang kembali merancakkan ekonomi negara,” ujarnya.
Dalam pada itu katanya, atas prinsip pertanggungjawaban, kerajaan akan mengurangkan defisit fiskal 2023 kepada lima peratus berbanding 5.6 peratus pada 2022 dan bertekad untuk mencapai tahap defisit fiskal yang mampan dalam jangka masa sederhana dengan sasaran 3.2 peratus kepada KDNK menjelang tahun 2025.
Beliau malah memaklumkan, Rang Undang-Undang Tanggungjawab Fiskal akan dibentangkan di Parlimen tahun ini untuk menjamin kebijakan ekonomi yang lebih telus dan bertanggungjawab bagi mengelakkan sebarang kemungkinan berlaku pada masa depan.
“Kerajaan akan mengambil pendekatan yang progresif dalam konteks subsidi bersasar atau struktur percukaian bagi melindungi golongan kurang bernasib baik dan mengharapkan pemahaman rakyat yang lebih kaya untuk menggalas tanggungjawab secara bersama,” katanya.
Belanjawan 2023 merupakan bajet pertama dibentangkan di bawah Kerajaan Perpaduan selepas Anwar mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 pada 24 November tahun lalu.
Belanjawan kali ini menyaksikan pertambahan peruntukan berbanding Bajet 2023 oleh kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 7 Oktober 2022.