fbpx

Belanjawan 2023: MCMC komited kukuh kesalinghubungan ekosistem digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

CYBERJAYA- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus komited dalam memperkasakan kesalinghubungan serta mengukuhkan ekosistem digital negara merentasi pelbagai sektor industri dan rakyat di negara ini.

Komitmen itu dinyatakan MCMC sebagai menyambut baik mandat Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang mengutamakan kemudahan Internet untuk rakyat sekali gus merealisasikan Dekad Keemasan Ekonomi Digital sempena Belanjawan 2023.

Jabatan Komunikasi Korporat MCMC berkata, komitmen itu melibatkan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), pelaksanaan 5G, inisiatif capaian internet di Program Perumahan Rakyat (PPR), pemerkasaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) melalui Pusat Ekonomi Digital (PEDi).

Katanya, ia juga merangkumi peruntukan Skim Geran Pendigitalan PKS selain usaha membanteras scam menerusi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).

“Inisiatif JENDELA dibangunkan untuk meningkatkan liputan kesalinghubungan dan penyediaan perkhidmatan internet berkualiti kepada rakyat, sektor perniagaan dan pihak berkepentingan.

“Menjelang hujung 2025, JENDELA beraspirasi untuk memperluaskan akses Gigabit bagi jalur lebar talian tetap kepada sembilan juta premis seterusnya membolehkan 100 peratus kawasan berpenduduk mendapat liputan serta mencapai purata kelajuan jalur lebar mudah alih pada 100Mbps,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Jelasnya, JENDELA Fasa 2 (2023-2025) akan memberi tumpuan dalam penyediaan liputan Internet bagi baki tiga peratus kawasan berpenduduk serta memperluaskan akses Gigabit bagi jalur lebar talian tetap kepada sembilan juta premis di seluruh negara.

“Bagi tahun 2023, sejumlah RM725 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan ketersambungan digital di 47 kawasan perindustrian dan hampir 3,700 buah sekolah.

“Usaha pembangunan rangkaian 5G itu giat dijalankan di seluruh negara serta melepasi sasaran awal iaitu 50 peratus liputan kawasan berpenduduk pada akhir tahun 2022.

Menjelang hujung tahun 2023, sasaran bagi liputan rangkaian 5G adalah 80 peratus kawasan berpenduduk,” jelasnya.

Dalam usaha menyediakan capaian Internet kepada kawasan komuniti, katanya, sebanyak 40,000 unit PPR disasarkan mendapat kemudahan internet tahun ini.

“PEDi yang tertumpu di kawasan luar bandar dan pedalaman menawarkan perkhidmatan capaian internet, program latihan ICT dan bertindak sebagai pusat transformasi serta pemangkin ekonomi digital kepada usahawan menerusi bantuan pendigitalan.

“Peniaga kecil akan diperkasakan dengan pengetahuan ICT dan e-Dagang menerusi PEDi. Bagi tahun ini, MCMC menyasarkan untuk menyediakan kemudahan PEDi sekurang-kurangnya satu PEDi di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI