PETALING JAYA – Belanjawan 2023 yang dibentangkan semalam dengan tema Membangun Malaysia Madani menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan keharmonian dan kemakmuran rakyat terus dipelihara.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, beliau menghargai dan menyambut baik Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Belanjawan 2023 yang dibentangkan adalah selaras dengan prinsip Madani yang mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.
“Malah, belanjawan ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan keharmonian dan kemakmuran rakyat terus dipelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) komited dalam membantu kerajaan mencapai hasrat Belanjawan 2023.
“Dalam konteks ini, KPN percaya peruntukan yang diluluskan kepada KPN adalah responsif, bertanggungjawab serta signifikan kepada bukan sahaja pemegang taruh KPN, malah juga komuniti dan masyarakat, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Aaron berkata, Belanjawan 2023 telah memperuntukkan pelbagai inisiatif bagi menjamin keharmonian dan perpaduan melalui Ikhtiar 11. – KOSMO! ONLINE