PETALING JAYA – Seorang pemuda hidup sengsara apabila ibu bapanya sering meminta wangnya untuk membeli keperluan tidak penting, bahkan turut berhutang sehingga mencecah RM20,000.
Bagaimanapun, lelaki tersebut bukanlah bergaji tinggi iaitu hanya sekitar RM2,000 sebulan, ditambah kos sara hidup bekerja di ibu kota Kuala Lumpur.
Itu kehidupan dihadapi seorang lelaki terpaksa menanggung hutang ibu bapa seperti dikongsikan oleh pengacara dan penyampai radio, Ahmad Fedtri Yahya pada Twitter.
Kisah itu diceritakan oleh rakan kepada pemuda tersebut yang menghantar mesej peribadi kepada Ahmad Fedtri.
“Saya ada kawan, dia lelaki anak sulung dalam keluarga. Keluarga dia ini jenis suka minta duit daripada dia.
“Kalau minta untuk keperluan keluarga, saya tak pelik sangatlah. Tapi emak ayah dia suka berhutang dengan entah sesiapa, lepas itu minta dia bayar.
“Dengar cerita dah sampai RM20,000 emak ayah dia berhutang. Masalahnya bukan hutang untuk kelangsungan hidup, tapi buat beli barang-barang hiasan rumah, barang kemas dan benda-benda kemahuan lain,” katanya pada hantaran tersebut.
Selain itu, kehidupan pemuda tersebut juga adakalanya makan hingga ‘bercatu’ memandangkan tinggal di Kuala Lumpur, tetapi berpendapatan RM2,000 sahaja.
“Keluarganya rasa RM2,000 itu banyak sangat, sebab itu mereka selalu minta itu dan ini. Kalau kawan saya cakap duit tak ada atau tak cukup, nanti mereka akan merajuk.
“Mereka cakap dia ini kedekut dan berkira dengan keluarga,” katanya. – KOSMO! ONLINE.