PETALING JAYA – Polis menahan 29 individu disyaki terlibat dalam aktiviti penipuan pelaburan dengan menawar pulangan yang lebih tinggi baru-baru ini.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, kesemua mereka ditahan terdiri daripada 19 lelaki dan 10 wanita berusia lingkungan 24 hingga 38 tahun hasil serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Johor pada 21 Februari lalu.
Katanya, sindikiet ini merupakan dalang disebalik beberapa skim pelaburan palsu yang baru ditubuhkan dengan menawarkan pelaburan dengan pulangan tinggi.
“Tawaran pelaburan dibuat melalui pelbagai medium di media sosial, skim itu dikenali sebagai Alpha Mineral Global, Asia Invesment VIP (AIV Trading), Max Profit Guides Empire (Max Profit) dan CGC Revolution and Managment (CGC),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, kejayaan serbuan ini hasil maklumat, risikan dan pemantauan yang dilakukan pihak polis sejak beberapa bulan yang lalu.
Noorsiah berkata, hasil serbuan itu juga pihak polis turut merampas beberapa barangan antaranya telefon bimbit, komputer riba, kad atm, barangan kemas dan sejumlah wang tunai berjumlah RM14,501.
“Polis menjangkakan jumlah mangsa yang terlibat adalah kecil memandangkan skim pelaburan ini baru diwujudkan.
“Mana-mana individu yang mungkin telah menjadi mangsa sindiket diminta tampil membuat laporan polis di balai berhampiran,” ujarnya.
Tambahnya, kesemua mereka direman antara satu hingga empat hari dan kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE