SEGAMAT – Di saat rungutan kenaikan harga barang memuncak ketika ini, seorang pengusaha biskut raya mengambil pendekatan berbeza apabila menjual biskut raya bajet berharga RM10 sebekas.
Shazliyana Suboh, 25, berkata, dia mengambil langkah berkenaan selepas menerima banyak maklum balas daripada pelanggan berhubung kenaikan harga biskut raya di pasaran.
Menurutnya, dia mengambil stok biskut raya daripada rakannya di Perak.
“Sebelum ini saya merupakan pembuat biskut raya namun disebabkan kenaikan harga bahan mentah, saya tidak sanggup mengambil risiko sebaliknya membuat keputusan menjual hasil air tangan orang lain,” katanya ketika ditemui di sini.
Shazliyana berkata, pelanggannya menyambut baik biskut raya bajet kerana harga mampu milik selain berpeluang membeli pelbagai jenis untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Kadangkala kita beli biskut raya satu jenis dalam kuantiti yang banyak belum tentu habis dan ada juga masuk tahun lain pun masih ada berbaki.
“Dalam masa sama, kita mahu membantu mereka yang tidak berkemampuan menyambut lebaran dengan meriah.
“Biskut raya bajet ini sangat berbaloi, dengan harga RM10, pelanggan akan menerima 15 sehingga 20 biji untuk sejenis kuih,” kata ibu kepada dua cahaya mata.
Menurut Shazliyana, dia menjual 28 jenis biskut tradisional dan moden seperti simpul kasih, semperit koko, makmur, mazola, jejari cinta, biskut arab, cornflake crunchy, almond london, tart nenas dan kelapa pandan.