LEIPZIG – Walaupun berjaya mengikat Manchester City seri 1-1 pada aksi 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara, namun ia masih belum memberi kepuasan kepada jurulatih RB Leipzig, Marco Rose.
Pada perlawanan yang berlangsung di Red Bull Arena awal pagi semalam, Leipzig bangkit menyamakan kedudukan menerusi Josko Gvardiol, sekali gus memadam jaringan awal dilakukan Riyad Mahrez.
Rose tanpa berselindung mengkritik aksi ditampilkan barisan pemainnya dengan melabelkan kualiti ditunjukkan Leipzig tidak layak untuk mereka berada dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini.
“Pada separuh masa pertama, kami banyak kehilangan bola. Secara jujur, aksi seperti itu tidak layak berada di Liga Juara-Juara dan saya beritahu semua pemain mengenainya ketika waktu rehat.
“Saya hanya mahu berlaku jujur dengan pemain dan tidak bermuka-muka. Kami sangat pasif dan tidak banyak mencabar City, namun aksi di separuh masa merupakan cerita berbeza kerana kami bermain lebih baik,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut memuji impak yang diberikan pemain gantian, Benjamin Henrichs selepas bek kanan itu banyak melakukan ‘overlap’ bagi membantu jentera serangan Leipzig.
“Kemasukan Henrichs membantu kami untuk mengubah permainan kerana dia banyak membantu pasukan ketika menyerang. Kami bermula dengan (Lukas) Klostermann kerana dia sangat bagus ketika bertahan, tetapi dia baru pulih daripada cedera,” ujar Rose. – AGENSI