fbpx

Terengganu FC tidak goyah bertembung Harimau Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
STEINBRUCKNER yakin skuad TFC yang dibarisi hampir separuh muka baharu itu tidak akan memberi laluan mudah buat JDT pada malam ini. – RAJA JAAFAR ALI

KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner mengakui tidak goyah berdepan kelab gergasi tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Piala Sultan Haji Ahmad Shah atau Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini.

Malah, Steinbruckner yang baru dilantik mengendalikan skuad Penyu turut memasang cita-cita untuk menghadiahkan trofi pertama buat TFC selepas kali terakhir menjulang Piala Sumbangsih pada 2001.

Menurutnya, beliau ada rancangan menghadapi JDT tanpa kelibat Habib Haroon yang cedera, manakala Faiz Nasir berdepan masalah kesihatan selain Liridon Krasniqi tidak boleh beraksi ke­rana status pinjaman dari JDT.

“Saya tidak melihat ketiadaan Habib, Faiz dan Liridon menjadi satu isu besar dan kita sudah mengenal pasti pemain yang sesuai mengisi tempat mereka dan percaya pemain itu mampu memikul tanggungjawab yang diberikan sebaik mungkin.

“Kita sudah membuat persiapan yang rapi untuk menghadapi perlawanan pembuka tirai liga, malah aksi ketika pramusim di Thailand berjalan lancar apabila hanya tewas di tangan kelab Denmark, Odense Boldklub.

“Aksi pramusim bukan ukuran sebenar, malah ia tertumpu ke arah meningkatkan keserasian dan melicinkan taktikal permai­nan yang diterapkan. Saya harap ia dapat diterjemahkan pada perlawanan esok dengan bermain corak menyerang,” katanya.

Steinbruckner memberitahu, skuad TFC yang dibarisi hampir separuh muka baharu itu tidak akan memberi laluan mudah buat JDT untuk memenangi perlawanan sumbangsih buat kali keenam berturut-turut.

Kapten pasukan TFC, Shahrul Nizam Ros Hasni pula bertekad membawa pasukan untuk memberikan yang terbaik dan menanam hasrat mengulangi kejayaan menewaskan JDT 1-0, April 2021.

Katanya, dia meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap ketua jurulatih baharu yang menggantikan Nafuzi Zain untuk menghadiahkan trofi pertama buat TFC setelah kali terakhir menjulang Piala Sumbangsih pada musim 2001.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI