fbpx

Suami lumpuh, isteri pula hilang ingatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAT IZAM menjaga isterinya, Heryalti yang mengalami masalah hilang memori di rumahnya di Taman Sri Telawi, Seremban baru-baru ini.

SEREMBAN – Seorang warga emas kecewa apabila permohonan untuk mendapatkan pencen ilat ditolak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) se­dangkan tiada pihak mahu mengambilnya bekerja kerana lumpuh separuh badan.

Mat Izam Mohd. Kalam, 60, berkata, permohonannya ditolak pada 2019 selepas dia disahkan menghidap strok apabila doktor menyatakan dia boleh bekerja.

“Saya strok sebelah kiri, maji­kan mana yang hendak ambil saya bekerja. Saya tak kuat se­perti dahulu dan isteri, Heryalti Tayalis, 56, pula hilang memori selepas berlaku pendarahan dalam kepala akibat terjatuh pada 2019.

“Kesannya, isteri tidak mampu berdiri lama dan perlu dibantu untuk bergerak selain ditahan di wad Hospital Sungai Buloh selama tiga bulan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Telawi di sini semalam.

Menurut Mat Izam, dia me­rayu kepada Perkeso agar mempertimbangkan permohonannya kerana dia amat memerlukan wang bagi perbelanjaan harian.

Tambahnya, dalam keadaan­nya yang tidak stabil, dia terpaksa berhenti kerja sebagai penyelia kilang di Sungai Buloh, Selangor bagi menjaga isterinya.

“Selepas terjatuh, doktor kata tengkorak isteri retak selain ada darah beku dalam otak yang memerlukan pembedahan segera. Doktor minta saya rehat ketika menunggu isteri selesai dibedah, namun bila dikejut pada pukul 3 pagi, tiba-tiba tangan kiri saya tak boleh angkat,” ceritanya.

Ujar Mat Izam, dia cuba berdiri namun kaki kirinya lemah dan terjatuh selain terpaksa berkampung di salah satu wakaf di hospital itu sepanjang isterinya dirawat.

“Saya terpaksa menjual empat buah kereta bagi meneruskan kehidupan dan ada terima bantuan daripada pihak masjid dan ahli keluarga,” katanya.

Mat Izam turut menerima bantuan awal daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Mat Izam di talian 013-758 0164 atau menerusi akaun Bank Simpanan Nasional 0510129000014927 (Helyalti).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI