SHAH ALAM – Aktivis sosial, Abdul Rani Kulup Abdullah mengumumkan akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor nanti.
Ini adalah percubaan kedua Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) dalam kancah politik selepas tewas dalam kerusi Port Dickson pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebelum ini.
Abdul Rani berkata, Gombak bukan asing baginya kerana sudah berkhidmat untuk masyarakat di kawasan situ sejak tahun 2010.
“Ayah (Abdul Rani) hendak bertanding untuk membantu masyarakat di Gombak Setia sebagaimana yang dilakukan lebih sedekad.
“Walaupun tidak bergelar wakil rakyat, perjuangan membantu rakyat tetap diteruskan walaupun tidak terpilih,” katanya ketika ditemui di Kompleks PKNS hari ini.
Pada PRU15, Abdul Rani hanya memperoleh 441 undi dalam pertembungan lima penjuru bagi kerusi Port Dickson yang dimenangi Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dengan majoriti 23,601 undi. – KOSMO! ONLINE