KUALA TERENGGANU – Kedatangan Ramadan bulan depan sangat dinanti-nantikan seorang tukang jahit orang kelainan upaya (OKU) berikutan pendapatannya dijangka meningkat sehingga empat kali ganda.
Mohd. Alamin Jais, 51, yang mencari rezeki di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) memberitahu, pendapatannya melonjak apabila orang ramai mula mendapatkan khidmatnya bagi mengubah suai seluar untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Pada hari biasa, pendapatan bulanan saya kira-kira RM500, namun sebaik bermulanya bulan Ramadan, ia akan meningkat sehingga RM100 sehari.
“Pelanggan biasanya mahu perkhidmatan mengubah suai seluar seperti memotong, menampal, membaiki dan menjahit,” katanya di sini semalam.
Mohd. Alamin berkata, trend masyarakat sekarang yang lebih gemar membaiki seluar lama kerana berjimat merupakan rezeki berganda buatnya.
Katanya, perkara itu amat bererti dalam membesarkan lima anak berusia tujuh hingga 19 tahun.
“Biasanya sebahagian pendapatan itu digunakan untuk membeli kelengkapan raya sekeluarga manakala selebihnya disimpan untuk keperluan di waktu sesak,” ujarnya.
Mohd. Alamin berkata, walaupun cacat anggota tangan, minat menjahit diwarisi daripada ibunya sebelum menjadi kerjaya dalam mencari rezeki.
Dia yang membuka kedai jahitan di Hentian MBKT sejak 20 tahun lalu, sewaktu berusia 19 tahun mengambil kursus jahitan profesional di Pulau Kerengga, Marang bagi memantapkan lagi kemahirannya.
“Saya tidak pernah menjadikan kekurangan diri sebagai halangan untuk mencari rezeki membesarkan anak-anak.
“Semoga kehadiran bulan Ramadan tahun ini memberi rezeki yang berganda dan berkat buat kami sekeluarga,” katanya.