fbpx

Nelayan kesal persatuan tetap syarat baharu perbarui lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sekumpulan nelayan menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Teluk Kumbar, hari ini.

SEBERANG PERAI – Nelayan yang menyatakan sokongan terhadap Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) didakwa sukar untuk memperbaharui lesen susulan peraturan baharu yang dikeluarkan Persatuan Nelayan Kawasan Pulau Pinang Selatan (PNKPPS) baru-baru ini.

Setiausaha Persatuan Kebajikan Nelayan Bayan Lepas Pulau Pinang, Fajinah Jaafar, 62, berkata, nelayan perlu membuat laporan polis dan menarik balik sokongan terhadap projek itu bagi melancarkan proses permohonan pembaharuan lesen yang dikemukakan.

Menurutnya, arahan yang disuarakan secara lisan itu turut disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp sebagai peringatan buat nelayan yang mahu memperbaharui lesen dan insurans.

“Tindakan PNKPPS itu adalah tidak wajar kerana sokongan yang disuarakan nelayan adalah berlandaskan pendirian peribadi dan tidak ada kena-mengena dengan prinsip persatuan.

“Lebih 300 nelayan secara terbuka menyokong projek PSR, namun ini pertama kali isu seumpama ini timbul ketika mahu memperbaharui lesen.

“Lesen nelayan perlu diperbaharui bagi membolehkan kami menerima pelbagai insentif antaranya Elaun Sara Hidup Nelayan sebanyak RM300 sebulan dan subsidi minyak untuk ke laut,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau turut tampil membuat laporan polis berhubung isu terbabit di Balai Polis Teluk Kumbar.

Tambahnya lagi, persatuan sepatutnya berperanan sebagai pemudah cara bukannya mengenakan peraturan yang seolah-olah mahu menggugat pendirian peribadi nelayan.

“Setakat ini, seramai dua nelayan akur dengan arahan yang ditetapkan, malah telah membuat laporan polis untuk menarik balik sokongan bagi memastikan permohonan perbaharuan lesen mereka berjalan lancar.

“Saya berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan berhubung isu ini dengan telus kerana nelayan hanya mahukan hak mereka. Jangan nafikan hak kami hanya kerana perbezaan pendirian dan pandangan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI