fbpx

Kempen Gerak, misi jerayawara Istana Budaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEMPEN Gerak adalah misi jelajah Istana Budaya ke seluruh negara dalam usaha menonjolkan keistimewaan kesenian dan kebudayaan ke jiwa masyarakat.

SEHINGGA Mei nanti, Istana Budaya bakal menjadi gelanggang bagi 10 pementasan mega membabitkan produksi tempatan serta antarabangsa yang tentu saja mampu menarik kehadiran khalayak.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Zubaidah Mukhtar berkata, secara tidak langsung produksi dapat memanfaatkan panggung gah itu dengan sepenuhnya sebelum Istana Budaya ditutup selama 36 bulan bagi kerja-kerja penyelenggaraan bumbung.

“Kerancakan semula aktiviti kebudayaan dan kesenian dapat dilihat menerusi pelbagai kegiatan memberangsangkan sama ada dalam dan luar negara.

“Istana Budaya selaku gelanggang gah juga tidak ketinggalan menjadi pusat tumpuan ramai untuk menikmati persembahan eksklusif dan bermutu tinggi.

“Tahun ini tirai dibuka tirai dengan program pementasan Konsert Diraja, Kementerian Pendidikan Malaysia dan akan disusuli dengan beberapa program lain.

TIRAI persembahan di Istana Budaya bagi musim 2023 dibuka dengan sebuah konsert kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Sekitar Mei iaitu menjelang penutupan sementara Istana Budaya kita akan memulakan pula program jelajah ke seluruh negara bagi mendekatkan masyarakat dengan persembahan bertaraf lima bintang,” kata selepas pelancaran program jelajah dinamakan Kempen Gerak yang berlangsung di Putrajaya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohd. Yusri Mohd. Yusoff.

Kempen Gerak bertujuan menyemarakkan kecintaan masyarakat terhadap kesenian negara akan dimulakan di Shah Alam, Selangor.

“Antara program jelajah yang disusun adalah Jangkauan Orkestra Tradisional Malaysia: Sounds of Malaysia, Konsert Mega Kembara Muzik Tradisional dan Echoes of Bronze, ASEAN,” ulasnya.

ZUBAIDAH (dua dari kiri) meneruskan siri persembahan berkualiti dari dalam dan luar negara untuk kalendar 2023 Istana Budaya.

Panggung Sari, Istana Budaya turut menyenaraikan beberapa pementasan lain seperti Konsert Sanam Band, tayangan filem Imam, konsert klasik menampilkan pemain solo Itali Domelnico Nordio, makyung Anak Raja Gondang dan Flourishes 23: Seri Puteri Symphonic Winds Royal Concert.

Sementara itu, Zubaidah turut memaklumkan Istana Budaya mencatatkan penjualan kutipan tiket sebanyak RM6.144 juta hasil daripada 15 program dan 39 pementasan yang dipertontonkan sepanjang 2022.

Jumlah tersebut membabitkan sokongan seramai 29,405 penonton dengan nilai publisiti mencecah sebanyak RM52 juta.

“Sebelum ini, Istana Budaya telah berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa menerusi penglibatan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dan Artistana dalam beberapa program yang diadakan di luar negara termasuklah Festival Muzik Asean-Vietnam di Hoi An, Viet Nam,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI