fbpx

Kematian dua warga asing di tempat kerja disiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SEBERANG PERAI – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang giat menjalankan siasatan secara berasingan berhubung dua kes kemalangan di tempat kerja membabitkan kematian dua warga asing di sini, hari ini.

Pejabat Pengarah JKKP Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, notis larangan dan meminta kerja-kerja di dua lokasi kejadian dihentikan serta-merta telah dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Kes pertama membabitkan seorang lelaki warga Bangladesh yang telah disambar api ketika menjalankan kerja pembersihan sisa skrap di sebuah kilang di kawasan perindustrian Perai pada 10 Februari lalu kira-kira pukul 10.50 pagi.

“Kes kedua pula melibatkan seorang lelaki warga Pakistan berusia 41 tahun yang jatuh dari tangga ketika menjalankan kerja menukar lampu rosak di sebuah kilang di Taman Perindustrian Batu Kawan pada 17 Februari lalu kira-kira pukul 2.40 petang.

“Kedua-duanya dilaporkan meninggal dunia di hospital ketika sedang menerima rawatan sejak satu ke dua minggu yang lalu,” katanya.

Susulan kejadian itu, JKKP negeri akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Aka Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam dan majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja.

“Majikan perlu bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI