fbpx

Kacau orang tidur, haramkan lato-lato

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK beberapa minggu ke­belakangan ini, video permainan lato-lato banyak disiarkan dan dikongsi dalam media sosial.

Tidak dinafikan, ramai golo­ngan kanak-kanak termasuk orang dewasa tertarik dengan permainan tersebut dan mula membelinya untuk bermain.

Boleh dikatakan, sana sini dan ke mana sahaja kita pergi pasti ada sahaja kedengaran bunyi yang terhasil daripada lato-lato itu.

Jika disorot kembali, permainan lato-lato ini berasal dari Amerika Syarikat dan mula diperkenalkan sejak 1990-an sebelum tersebar ke beberapa negara lain termasuk Asia.

Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Suhaimi Mohamad berkata, lato-lato dilihat bukan sekadar permainan tetapi dipercayai dapat memberi manfaat buat pemain bagi menghilangkan tekanan.

Pun begitu katanya, sejak permainan tersebut mula menular dan menjalar ke mana-mana sahaja ketika ini, mula timbul keluhan serta keresahan para ibu bapa mengenai bahana permainan tersebut.

“Misalnya sebelum lato-lato tiba di Malaysia, ia terlebih dahulu tular di Indonesia dan me­nurut sumber sudah banyak kes melibatkan kecederaan kepada kanak-kanak.

“Kebanyakan ibu bapa di sana mendakwa anak mereka ketagih siang dan mala terhadap lato-lato hingga menyebabkan kece­deraan pada dahi, muka dan mata akibat lantunan alat permainan tersebut,” katanya.

Lebih malang katanya, ada juga kanak-kanak di sana yang mengalami kecederaan parah dan terpaksa dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan serta pembedahan.

Senada dengan Mohd. Suhaimi ialah Kamarul Ariffin Nor Sadan yang merupakan seorang pegawai perubatan memberitahu dia pernah menerima serta mengendalikan beberapa kes melibatkan kecederaan kanak-kanak akibat bermain lato-lato di kliniknya.

“Seorang kanak-kanak telah bengkak dan lebam teruk di batang hidungnya terkena pemberat lato-lato.

“Permainan ini ada dua (ladung) pemberat dan diikat dengan tali. Cara bermainnya melibatkan pemain menghayun kedua-dua pemberat ini agar ia bertembung antara satu sama lain, di bawah dan di atas tangan.
Lagi laju ia dihayun, dianggap lagi hebat.

“Maka, jika silap hayun, ada risiko ladung tak bertembung sesama sendiri, lalu terkena anggota tubuh. Ada lato-lato yang ladungnya tu agak berat, jadi jika kena muka agak berbahaya terutama jika melibatkan mata, gigi, dahi atau hidung,” katanya.

Sementara itu, seorang individu yang enggan dikenali identitinya mengakui, dia baru-baru ini pernah bertikam lidah dengan sepasang suami isteri disebabkan lato-lato.

Katanya, bunyi lato-lato yang dihasilkan anak pasangan tersebut yang tinggal bersebelahan dengannya di sebuah apartment di Johor Bahru membuatkannya rimas dan naik amarah.

“Saya kerja syif malam di sebuah kilang dan tinggal menyewa bersendirian. Sejak dua minggu kebelakangan ini, saya memang rimas dengan bunyi lato-lato.

“Siang hari yang sepatutnya menjadi ‘malam’ dan waktu untuk saya lelapkan mata terganggu disebabkan bunyi lato-lato tanpa henti itu dan annoying (menjengkelkan) itu,” katanya.

Dalam kes berasingan, seorang pemilik kenderaan di Guar Chempedak, Kedah berang apabila cermin keretanya pecah akibat lato-lato.

Kejadian itu menyaksikan ne­tizen turut marah selain meminta penjualan lato-lato dikawal sekali gus diharamkan seperti yang dilakukan Amerika Syarikat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI