PENOLONG jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Pablo Ricchetti optimis mampu mempertahankan Piala Sultan Haji Ahmad Shah dengan menewaskan Terengganu FC (TFC) pada perlawanan Piala Sultan Haji Ahmad Shah atau Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini.
Ricchetti berkata, kemenangan itu penting dalam misi mempertahankan Liga Super, sekali gus melebarkan rekod kejuaraan dengan memenanginya buat 10 musim berturut-turut.
Menurutnya, persembahan yang baik ketika siri pramusim di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu pada bulan lalu mampu diterjemahkan pada perlawanan menentang skuad Penyu di laman sendiri.
“Kami sudah bersedia 100 peratus untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super dan ia bermula dengan perlawanan Sumbangsih yang juga perlawanan pembukaan liga musim ini.
“Pada aksi pramusim yang lalu, pasukan telah beraksi di tahap tinggi dengan permainan intensiti tinggi, cuma ada sedikit ruang yang perlu diperbaiki.
“Fokus pasukan adalah untuk meneruskan kecemerlangan pada musim lalu dengan membentuk pasukan yang lebih berkualiti. Jadi, kita perlu menang pertembungan esok sebagai permulaan baik mengharungi saingan Liga Super,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri semalam.
JDT memenangi Piala Sultan Haji Ahmad Shah sejak 2018 dan menyasarkan untuk memenangi trofi buat kali keenam berturut-turut.
Ditanya mengenai barisan kesebelasan utama, Ricchetti berkata, pasukan belum memuktamadkan pemain yang akan diturunkan dan keputusan akan dibuat ketua jurulatih sebelum perlawanan penting itu.
“Kita mempunyai ramai pemain berkualiti termasuk muka baharu yang menyertai pasukan musim ini, saya percaya siapa diturunkan mampu melaksanakan tugas dengan baik bagi menambah trofi buat pasukan,” katanya.
Dalam pada itu, pemain pertahanan JDT, Jordi Amat menjangkakan pertemuan yang sengit menentang Terengganu dan berharap rakan sepasukan dapat memberikan tumpuan penuh untuk mengutip tiga mata.
Katanya, kemasukan pemain baharu yang menyertai pasukan seperti Oscar Arribas, Juan Muniz dan Diogo Luis Santo yang menunjukkan keserasian mampu membantu pasukan sekiranya diberikan peluang beraksi.
“Kelab telah membuat keputusan baik dengan menandatangani pemain berkualiti, ia menyuntik kekuatan kepada pasukan dari setiap sudut. Saya yakin mentaliti juara yang diterapkan mampu membantu pasukan.
“Bagaimanapun, kami tetap menghormati Terengganu, mereka memberikan tentangan hebat pada perlawanan akhir Piala FA musim lalu dan menjangkakan perkara sama pada pertemuan esok,” katanya.
Tambahnya, pasukan juga perlu memberi tumpuan kepada pemain import Terengganu dari Thailand, Adisak Kraison yang mampu menjadi duri dalam daging buat JDT.