BANDA ACEH – Seorang ibu muda berumur 33 tahun dan kekasihnya iaitu seorang pemuda berumur 23 tahun yang berzina kini menunggu hukuman rotan sebanyak 100 kali, lapor portal berita Tribuntoraja,com hari ini.
Hubungan yang dilakukan oleh lelaki dan wanita tersebut dilakukan atas dasar suka sama suka dan pengakuan mereka dibuat di depan hakim Mahkamah Syariah Takengon.
Menurut portal berita tersebut, kedua-dua mereka turut bersumpah melakukan perzinaan tanpa paksaan mana-mana pihak.
Setelah mendengar semua keterangan, Hakim Tunggal Taufik Ridha kemudian memutuskan bahawa ibu muda tersebut dan lelaki berkenaan telah terbukti secara sah serta meyakinkan mereka bersalah melakukan zina.
Hakim itu membuat keputusan kelmarin dan kedua-dua pesalah tersebut ditahan sehingga pelaksanaan hukuman rotan 100 kali itu dilaksanakan.
Kedua-dua mereka didapati bersalah hukum kanun Aceh tahun 2014.
Mereka melakukan zina pada 29 September tahun lalu bertempat di rumah wanita berkenaan yang ketika itu masih bergelar isteri orang di Kabupaten Aceh Tengah dan kedua-duanya kemudian ditangkap penduduk tempatan.
Kedua-dua pesalah itu kemudian dibawa penduduk dan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk diadili di bawah hukum hudud. – Agensi