SHAH ALAM – Orang ramai diminta tidak memandang serong Universiti Teknologi Mara (UiTM) susulan isu yang dihadapi sayap perniagaannya, UiTM Holdings Sdn. Bhd. (UiTM Holdings) ketika ini.
Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UiTM, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Ros berkata, isu berkenaan telah sedikit mencalar universiti berkenaan walaupun bahagian pendidikan universiti, iaitu UiTM tidak terlibat dalam apa yang berlaku terhadap UiTM Holdings.
“UiTM dan UiTM Holdings adalah dua entiti berbeza, jadi tidak sepatutnya UiTM pula yang dipandang serong oleh orang awam disebabkan isu yang melanda UiTM Holdings.
“Apapun, kes yang melibatkan UiTM Holdings ini masih dalam siasatan pihak berkuasa, jadi saya tak boleh masuk campur kes tersebut,” katanya selepas menghadiri majlis sesi perjumpaan di antara Pengerusi LPU UiTM dengan pengurusan kanan universiti itu di UiTM Shah Alam, hari ini.
Menurutnya, UiTM Holdings ditadbir secara sendiri dan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) utuk menjadi sebuah syarikat yang sah.
Mengulas mengenai kejatuhan ranking UiTM dalam badan pemerhati universiti antarabangsa, Times Higher Education (THE), Raduan menjelaskan bahawa pihak pengurusan kini bertekad untuk meningkatkan ranking universiti pada masa akan datang. – KOSMO! ONLINE