fbpx

Gempa Turkiye: Mangsa kelaparan tunggu makanan tiba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Musa (dua dari kiri) ketika mengagihkan makanan di sekitar Gaziantep dan Nurdagi, Turkiye. Foto oleh Cinta Syria Malaysia.

PETALING JAYA – “Kalau makanan tidak sampai, saya tidak tahu apa akan jadi pada anak-anak saya sebab mereka betul-betul kelaparan.”

Demikianlah luahan salah seorang mangsa gempa bumi di Nurdagi, Turkiye kepada Pengasas Cinta Syria Malaysia, Ahmad Musa Al-Nuwayri yang berada di sana sejak 12 Februari lalu.

Ahmad Musa dan pasukan yang berada disana selama sembilan hari, berkata, sebaik tiba di Gaziantep, pasukannya bergerak ke pusat penyediaan makanan dan bekerjasama dengan NGO tempatan dikenali sebagai Bonyan.

“Mereka terlalu lapar sehinggakan terpaksa bergelut semasa agihan makanan dilakukan jadi kami terpaksa bergerak ke kawasan lain.

“Apa yang memilukan adalah, seorang ibu apabila dapat sahaja makanan dia terus suap anaknya yang kelaparan dan sampai lupa anaknya yang kedua juga masih belum makan.

“Ibu tersebut berterima kasih pada kami kerana jika makanan tidak sampai, tidak tahu apa nasib anak-anaknya yang menunggu makanan tiba,” katanya ketika dihubungi Kosmo!

Tambah Ahmad Musa, dia mengaku dengan cuaca yang sangat sejuk dan bau mayat yang sangat kuat, ini merupakan misi kemanusiaan yang paling mencabar pernah dilakukannya.

“Keadaan teruk sangat-sangat disana. Dah tidak seperti Turkiye yang kami pergi dahulu. Bangunan hancur dengan bau mayat yang kuat.

“Semasa di Nurdagi memang kami nampak ada banyak jenazah yang sedang diangkat kerana operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Musa turut berkata, sekitar pertengahan bulan Mac dia dan pasukannya akan sekali lagi ke Turkiye bagi meneruskan agihan barangan dan makanan.

Orang ramai yang ingin memberi bantuan boleh salurkan ke akaun bank Disaster Relief Maybank 550511620644 dengan rujukan Gempa Bumi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI