KEKANGAN bekalan darah di Malaysia kini adalah sesuatu yang merisaukan.
Kita sering kali mendengar iklan di radio atau media sosial bahawa bekalan darah adalah di tahap kritikal dan kempen untuk menderma darah sangat aktif dilakukan oleh Pusat Darah Negara.
Malaysia merupakan antara negara yang kekurangan bekalan darah dan permintaan untuk transfusi darah adalah yang tertinggi.
Berdasarkan data dari Pusat Darah Negara hingga Disember 2021, kita kekurangan stok darah jenis A dan O.
Pusat Darah Negara merupakan pembekal utama darah di kawasan Lembah Klang, dan penggunaan darah di Lembah Klang adalah antara 3,500 unit hingga 3,700 unit seminggu.
Terdapat pelbagai sebab mengapa seseorang itu perlu transfusi darah.
Antara sebab utama adalah disebabkan oleh pendarahan yang banyak seperti selepas kemalangan atau semasa proses pembedahan.
Dalam situasi ini, pesakit kehilangan komponen darah seperti sel darah merah, sel darah putih, platelet dan plasma.
Antara sebab lain mengapa pesakit memerlukan transfusi darah adalah bagi merawat pesakit leukemia, talasemia, komplikasi semasa bersalin dan lain-lain.
Kehilangan komponen darah ini boleh menyebabkan kerosakan organ dalaman dan membuatkan pendarahan menjadi lebih serius kerana kehilangan faktor pembekuan darah di dalam salur darah.
Penggantian semula komponen darah dan plasma melalui transfusi darah adalah rawatan terbaik dan efektif bagi memastikan pesakit tidak mendapat komplikasi.
Darah terdiri daripada jenis A, B, AB, dan O.
Setiap penderma atau penerima darah harus melalui proses penyaringan jenis darah.
Hal ini sangat penting bagi memastikan darah yang ditransfusi sesuai untuk penerima darah.
Jika darah yang diderma tidak sesuai, penerima darah akan mengalami proses penolakan darah daripada sistem imunisasi badan, yakni sel darah putih penerima darah akan bertindak untuk membunuh sel darah merah yang dimasukkan ke dalam badan.
Keadaan ini sangat serius dan boleh menyebabkan kerosakan organ dalam badan atau kematian.
Pendermaan darah dapat menyelamatkan sekurang-kurangnya tiga nyawa.
Hal ini dikatakan demikian kerana darah yang didermakan boleh diproses dan diasingkan kepada sel darah merah, platelet dan plasma yang boleh digunakan untuk membantu pelbagai masalah kekurangan darah yang berbeza yang dihadapi oleh pesakit.
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, hukum menderma darah adalah sunat dah digalakkan, terutamanya untuk memberikan bantuan kepada pesakit yang memerlukan darah dalam keadaan terdesak.
Namun, ramai yang bertanya sama ada pendermaan darah ini mempunyai risiko kepada pendermanya.
Pendermaan darah adalah selamat kerana bahan yang bersih dan disteril akan digunakan semasa proses pendermaan darah.
Alatan yang digunakan ialah alatan baharu bagi setiap pendermaan darah.
Hal ini penting bagi memastikan tiada jangkitan darah semasa menderma dan transfusi darah.
Jika penderma darah itu seorang dewasa, maka individu tersebut boleh menderma satu pek darah (setengah liter) tanpa membahayakan kesihatannya.
Dalam beberapa hari selepas pendermaan darah, badan akan menggantikan isipadu cecair dalam darah yang didermakan.
Selepas dua minggu, badan dapat menggantikan semua sel darah merah yang telah didermakan.
Bagi yang ingin mengetahui persediaan yang perlu dilakukan sebelum menderma darah, di sini saya akan mengulas dengan lebih lanjut mengenai persediaan yang perlu anda lakukan sebelum menderma darah.
Sebelum menderma darah, penderma dinasihatkan untuk meminum air secukupnya dan tidur sekurang-kurangnya lima jam.
Hal ini dapat memastikan kandungan air di dalam darah adalah mencukupi dan tidak berasa kepenatan selepas menderma darah.
Pada hari pendermaan darah, penderma seharusnya berada dalam keadaan yang sihat.
Ini penting bagi memastikan tiada bakteria atau virus di dalam darah yang diderma.
Penderma darah juga seharusnya mempunyai berat badan melebihi 45 kilogram dan diwajibkan untuk mengambil makanan dalam masa empat jam sebelum menderma darah.
Proses pendermaan darah pula lazimnya mengambil masa selama 10 minit.
Selepas menderma darah, penderma darah dinasihatkan untuk berehat selama 10 minit sebelum dibenarkan pulang.
Selain itu, penderma darah juga akan diberikan makanan ringan dan minuman selepas menderma darah.
Penderma darah tidak digalakkan untuk mengangkat barang berat atau membuat senaman berat dalam tempoh enam jam hingga lapan jam selepas pendermaan darah.
Ini dapat mengelakkan risiko bengkak atau lebam di bahagian anggota yang dicucuk.
Saya berharap agar kesedaran untuk menderma darah dapat ditingkatkan, agar kita dapat menyelamatkan mereka yang betul-betul memerlukan.
DR. ISKANDAR MIRZA AMRAN ialah Felo Kardiologi dan Pakar Perubatan Dalaman, Institut Jantung Negara.