MUNICH – Pertahanan Bayern Munich, Joao Cancelo tampil menafikan penghijrahannya ke Jerman bukan disebabkan perselisihan di Manchester City dan sudah pun mendapat restu daripada Pep Guardiola.
Cancelo menegaskan beliau sudah pun berbincang dengan Guardiola dan hasil pertemuan itu membolehkannya menyertai Bayern Munich secara pinjaman selepas tidak lagi dapat merebut tempat dalam kesebelasan utama City.
Malah, pemain kebangsaan Portugal itu juga mengesahkan dakwaan yang mengatakan beliau dan Guardiola bermasam muka kerana hilang tempat kepada Rico Lewis dan Nathan Ake dalam skuad The Citizens sebagai satu penipuan.
“Adakalanya pemain akan bersikap pentingkan diri untuk rasa sebagai tonggak penting dan mahu kekal bermain, selebihnya adalah satu pembohongan. Sebagai pemain yang kompetitif seperti saya, sudah pasti saya ada cita-cita untuk memenangi kejuaraan dan hanya mahu bermain.
“Ini bukan soal untuk merendahkan keupayaan atau pun nilai rakan sepasukan. Kami sudah pun berbual dan memutuskan apa yang terbaik untuk saya dan kesempatan ini tidak boleh ditolak kerana ia adalah atas dasar persetujuan bersama.
“Jika City tidak mahukan saya, mereka boleh lepaskan saya kerana ada kontrak. Saya cukup profesional dan akan sentiasa bawa imej kelab,” katanya.
Sejak 28 Disember, Cancelo berdepan kesukaran untuk mendapatkan minit permainan dan hanya melakukan tiga penampilan, manakala selebihnya diletakkan di bangku simpanan.
Sebelum ini, laporan pernah menyebut Cancelo dan Guardiola tidak lagi sebulu ketika latihan hingga menyaksikan Ake sering menjadi pilihan bagi mengisi kesebelasan utama bersama Lewis.
– AGENSI