fbpx

Bukan ‘level’ saya layan video provokasi – Adam Shahz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADAM SHAHZ percaya, Ivy akan mencarinya suatu hari nanti.

KUALA LUMPUR – “Kalau saya layan, apa beza ‘level’ saya dengan dia?,”

Demikian penegasan pelakon Adam Shahz mengenai video berbaur provokasi suami kepada bekas isterinya, Aliff Awang ketika menghadiri perbicaraan di Mahkamah Syariah Shah Alam, Selangor Januari lalu.

Menurut pemilik nama lengkap Nor Shah Azli Abdol Ghani itu, lebih baik dia tidak melayani kerenah orang mahu pun perkara yang tidak setaraf dengannya.

“Saya rasa macam bukan tahap saya untuk melayan atau memberikan reaksi terhadapnya.

“Andai saya membalas sebarang kenyataan daripada video berkenaan, akan merumitkan dan mengeruhkan keadaan.

“Dari sudut orang lain mungkin benda itu nampak seperti provokasi tetapi saya tidak merasakan apa-apa dengan video tersebut,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada malam gala Sumpahan Syaitan di ibu negara, malam tadi.

Adam juga mengakui tidak terkesan dengan video dikongsikan suami kepada Fatin Afeefa walaupun fokus kamera telefon lelaki tersebut dihalakan ke arahnya.

“Sebenarnya saya tidak tahu apa-apa mengenai video itu sehinggalah selepas keluar mahkamah.

“Telefon saya banyak masuk notifikasi sehingga saya terpaksa berhenti di tepi jalan untuk melihat apa yang dikirimkan ke saya.

“Pada waktu itu, saya baru tahu kewujudan video tetapi saya tiada isu atau terasa langsung,” ujar pelakon berusia 42 tahun itu.

Sebelum ini, Aliff pernah memuat naik sebuah video yang dikatakan ingin memerli Adam ketika mereka menghadiri prosiding perbicaraan kali pertama pada 26 Januari lalu.

Menerusi video tersebut, Aliff menunjukkan serangkap kata-kata yang mahu manusia menggunakan akal seolah-olah nyawa bergantung kepadanya.

Tidak cukup dengan itu, Adam pernah diajak menyelesaikan masalah secara baik tanpa melibatkan prosedur mahkamah oleh pihak Aliff sebelum tampil ke mahkamah.

“Kami tidak pernah berkomunikasi tetapi sebelum kes mahkamah pengawal peribadinya ada menghubungi saya meminta selesaikan hal anak dengan cara baik.

“Namun, saya tidak mahu kerana menyelesaikan masalah hanya dengan janji manusia memang tidak boleh dipercayai selain menyerahkan kepada mahkamah untuk tentukan keputusan.

“Nasihat saya pada pasangan yang ada masalah ke arah proses penceraian, pastikan selesaikan di mahkamah bukan secara sendiri,” jelasnya.

Bagaimanapun, pelakon filem Juvana itu redha jika hak penjagaan anak tidak diberikan kepadanya tetapi dia tetap mahu meluangkan masa bersama anak perempuannya, Ivy Herra Sophia, 8.

“Kalau ikutkan saya failkan permohonan hak penjagaan penuh.

“Namun, kalau dia rasa okey untuk menjaga anak saya okey sahaja cuma saya mahukan lawatan dan bermalam.

“Itu anak perempuan saya, sebagai ayah saya perlu tahu bagaimana dia membesar, dengan siapa dan pergi ke mana,” luahnya.

Biarpun berdepan kesukaran mendapatkan maklumat tentang Ivy, Adam percaya seorang anak tetap akan mencari bapa kandungnya suatu hari nanti.

“Saya percaya dia mencari saya sebab ikutkan dia lebih rapat dengan saya.

“Sampai sekarang saya tidak tahu apa-apa maklumat mengenai keberadaannya,” tuturnya.

Bulan lalu, Adam dan bekas isterinya, Fatin Afeefa menghadiri prosiding perbicaraan kali pertama berhubung hak penjagaan anak tunggal mereka.

Terdahulu, Adam dan Fatin berkahwin pada Disember 2013 dan dikurniakan seorang anak perempuan, namun bercerai sekitar Mei 2017. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI