PETALING JAYA – Bagi ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berusia 40 hingga 54 tahun dengan simpanan kurang RM10,000 di dalam Akaun 1, kerajaan bersetuju untuk menambah caruman simpanan sebanyak RM500.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, program ini akan memberi manfaat kepada hampir 2 juta ahli KWSP melibatkan peruntukan hampir RM1 bilion.
“Kerajaan beriltizam untuk membantu rakyat membina semula simpanan persaraan mereka bagi memastikan simpanan yang ada kelak mencukupi untuk membiayai hari persaraan.
“Pada masa yang sama, Kerajaan berharap Rakyat yang mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi akan terus menyumbang supaya semua lapisan pencarum mendapat manfaat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Dewan Rakyat hari ini. – KOSMO! ONLINE