fbpx

Belanjawan 2023: RM100 juta peruntukan Program Jualan Rahmah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salahuddin.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memfokuskan konsep Payung Rahmah bagi memastikan rakyat terus mendapat pembelaan dalam menghadapi cabaran kenaikan kos sara hidup.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, RM100 juta peruntukan bagi Program Jualan Rahmah akan dilaksanakan di semua 222 kawasan Parlimen bagi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah.

“Melalui program ini, rakyat akan dapat menikmati harga barangan asas sehingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya kepada sidang akhbar selepas pembentangan Belanjawan 2023 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Perpaduan turut prihatin terhadap nasib penduduk di luar bandar di mana sebanyak RM225 juta diluluskan bagi meneruskan Program Pengedaran Barangan Perlu, Gas Petroleum Cecair (LPG) dan ‘Community Drumming’.

“KPDN akan melaksanakan pengedaran barangan keperluan asas kepada penduduk di 822 kawasan pedalaman di Sabah, Sarawak, Terengganu, Pahang, Kelantan dan Kedah termasuk 25 kawasan pengedaran baharu iaitu di Sarawak (Paloh dan Passin), Terengganu (Pasir Raja) dan Kelantan (Kuala Krai).

“Seramai 1.28 juta penduduk luar bandar di enam negeri akan dapat membeli tujuh barangan keperluan iaitu tepung gandum kegunaan am, gula putih bertapis kasar, beras putih dan minyak masak sawit tulen paket satu kilogram (kg) atau botol satu liter.

“Seterusnya, mereka juga akan menerima LPG, petrol RON95 dan diesel pada harga yang ditetapkan oleh kerajaan,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya komited dalam memastikan subsidi yang diperuntukkan bakal dinikmati oleh golongan yang layak serta melaksanakan penguatkuasaan bagi mengelak ketirisan subsidi berkenaan.

Selanjutnya, pihaknya menyambut baik pengumuman kerajaan untuk menggubal Akta Kredit Pengguna serta menubuhkan Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna bagi mengawal selia perniagaan kredit agar dapat melindungi hak-hak pengguna dan perniagaan.

“KPDN akan terus memastikan peruntukan yang telah dinyatakan dalam Belanjawan 2023 ini digunakan mengikut perancangan agar impak dan manfaat yang baik dapat dinikmati oleh rakyat,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI