fbpx

Belanjawan 2023: PN ‘dianaktirikan’ dalam bajet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Fadhli (kiri), Wan Ahmad Fayhsal (kanan).

KUALA LUMPUR – Beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) berasa mereka ‘dianaktirikan’ dan memberikan ‘rating’ lima daripada 10 terhadap pengumuman Belanjawan 2023 hari ini.

Kebanyakan mereka menganggap masih terdapat banyak kelopongan dalam membantu rakyat yang dibelenggu kos sara hidup.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya akan berbincang bagi memberi keputusan sama ada untuk menyokong atau sebaliknya Belanjawan 2023 pada minggu depan.

“Blok pembangkang agak kecewa kerana belanjawan itu tidak menyalurkan peruntukan sama rata kepada negeri ditadbir oleh PN.

“Berhubung peruntukan untuk ahli-ahli Parlimen juga tidak jelas. Boleh jadi ada, boleh jadi tiada. Perkara ini tidak disebut secara jelas oleh Perdana Menteri.

“Pada saya ada ruang untuk tambah baik pada perbahasan pada minggu depan. Oleh itu, kami akan menyatakan sikap pendirian (setuju atau tolak) pada minggu depan,” katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen, hari ini.

Tambah, Ahmad Fadhli, meskipun pengumuman belanjawan itu menyentuh soal ketirisan, namun tidak menyebut 1MDB yang menjadi punca utama hutang negara.

Bersependapat dengannya, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad berkata pihaknya bimbang terhadap langkah menstruktur semula entiti ekonomi Bumiputera seperti diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, perkara itu tidak jauh seperti mana hasrat bekas Menteri Kewangan Pakatan Harapan (PH), Lim Guan Eng yang mahu melaksanakan perkara tersebut.

“Saya kecewa terhadap Belanjawan 2023 yang dilihat ‘menganaktirikan’ negeri pembangkang.

“Meskipun secara keseluruhan pengumuman itu agak baik, namun ia memerlukan penambahbaikan ketika perbahasan minggu depan.

“Pada hujung minggu ini, kami akan mengadakan Retreat Ahli Parlimen PN untuk meneliti belanjawan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI