KUALA LUMPUR – Bajet yang dibentangkan kali ini merupakan respon kepada keadaan global, sekali gus dapat meningkatkan daya saing negara dalam ketidaktentuan ekonomi kini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, beliau menyambut baik komitmen kerajaan khususnya untuk tingkatkan taraf hidup rakyat dan kemakmuran negara.
“Walaupun kementerian kami mendapat peruntukan kecil, tetapi maknanya besar. Salah satu kita nak fokuskan adalah bagaimana ingin tingkatkan pengambilan pekerja tempatan dalam sektor peladangan.
“Kita mengharapkan syarikat-syarikat besar akan dapat mencontohi pekerja tempatan dalam sektor peladangan dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen, disini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, cara untuk membasmi miskin tegar adalah dengan melibatkan petani dan pekebun kecil dalam industri besar.
“Pemberian subsidi sahaja tidak dapat mengeluarkan mereka (petani) daripada kotak kemiskinan.
“Kita nak cuba usaha libatkan petani dan pekebun kecil bersama para industri besar, misalnya mereka menjadi pemegang saham. Jadi dengan itu mereka akan mendapat pendapatan pelbagai.
“Kita sudah berbincang dengan beberapa syraikat, ia telah dipersetujui, tetapi sedang diperincikan. Usaha akan berjaya jika pekebun kecil dan petani bersetuju,” katanya. – KOSMO! ONLINE