PETALING JAYA – Kerajaan melalui Bank Pembangunan Malaysia Berhad menyediakan sehingga RM6 bilion pembiayaan strategik khusus untuk menggalakkan agenda mampan dan automasi selain sokongan dalam bentuk ekuiti dan modal kerja pusingan kepada syarikat berpotensi tinggi yang masih terjejas dengan Covid-19.
Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Parlimen hari ini.
Beliau berkata, selain itu, kerajaan memandatkan Tun Razak Exchange (TRX) sebagai hab kewangan antarabangsa Malaysia. TRX perlu berusaha menarik industri kewangan global supaya berupaya menjadi destinasi utama pelaburan asing berkualiti tinggi yang boleh memperkukuh ekosistem perniagaan di Malaysia.
“Kita juga bercadang untuk memperkukuh pembangunan Iskandar Malaysia di Johor melalui pewujudan zon khas kewangan dengan pakej imbuhan yang berdaya saing bagi menarik pelabur antarabangsa dan pekerja berpengetahuan menetap di Malaysia.
“Bagi mendukung dan menggalakkan kemasukan pelabur, peniaga dan pelancong, kerajaan bercadang untuk membesarkan dan meningkatkan keupayaan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Subang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE