KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan memperincikan mekanisme dan syarat berhubung bayaran ujian memandu bagi lesen motosikal kelas B2, lesen teksi, bas dan lesen Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) e-hailing kepada golongan belia seperti diumumkan dalam Belanjawan 2023 hari ini.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia merupakan inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2023.
Katanya, pihak kementerian akan mengkaji segala aspek sebelum sebarang pelaksanaan dilakukan di masa akan datang.
“Tanggungan bayaran ujian memandu untuk lesen motosikal kelas B2 dan lesen teksi, bas dan e-hailing ini untuk membantu golongan belia supaya mereka boleh memulakan pekerjaan dalam (bidang) ekonomi gig.
“Mekanisme terperinci akan kita umumkan kerana hari ini, ia secara sepintas lalu. Saya baru dapat berita baik ini. Dari segi mekanisme pelaksanaan perlu kita perincikan lagi sebelum pelaksanaan ini dapat diumumkan,” katanya pada sidang akhbar selepas pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
Ujarnya, kementeriannya juga akan mengkaji semula peruntukan yang diperolehi itu supaya ia boleh disasarkan kepada golongan lain.
Dalam pada itu, Anthony menyambut baik pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam meneruskan inisiatif pas bulanan My50 kepada masyarakat.
Katanya, dengan meneruskan inisiatif ini ia dapat menarik lebih ramai pengguna menggunakan pengangkutan awam sekali gus dapat memberi manfaat yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.
“Terima kasih kepada Menteri Kewangan (Anwar) kerana meneruskan inisiatif pas bulanan My50 khususnya pengguna-pengguna pengangkutan awam di Lebah Klang supaya inisiatif pas bulanan ini dapat diteruskan.
“Saya jangkakan bahawa pengguna akan melanggan pas bulanan akan meningkat pada tahun ini apabila perkhidmatan Aliran Transit Ringan 2 (LRT2) bermula pada Mac nanti,” katanya. – KOSMO! ONLINE