fbpx

Banduan belasah rakan sel sampai mati kerana ‘curi’ roti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kompleks Penjara Melaka, Sungai Udang. Foto oleh SYAFEEQ AHMAD / KOSMO!

MELAKA – Seorang banduan di Penjara Sungai Udang di sini bertindak memukul rakan selnya sehingga mati gara-gara mengesyaki mangsa mengambil bahagian rotinya, Jumaat lalu.

Mangsa yang merupakan warga Indonesia berusia 47 tahun disahkan meninggal dunia pada pukul 6.28 petang semalam selepas tujuh hari menerima rawatan di Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pergaduhan dipercayai berlaku selepas suspek yang merupakan warga tempatan berusia 34 tahun mengesyaki mangsa mengambil bahagian roti miliknya yang dibekalkan oleh pihak penjara sehingga menyebabkannya kelaparan.

“Pada pukul kira-kira 2 petang, suspek dikatakan baru sahaja selesai sembahyang dan didatangi mangsa.

“Mereka kemudian berbual dan suspek bertanya kepada mangsa adakah dia telah mengambil bahagian rotinya, namun banduan Indonesia itu menafikan dengan meninggikan suaranya menyebabkan suspek bertindak memukulnya,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Tambahnya, suspek sedang menjalani hukuman pemenjaraan selama 16 tahun sejak 11 Mac 2016 sehingga 3 September 2032 atas kesalahan Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai.

Sementara itu mangsa dipenjarakan sejak 21 November 2022 dan sepatutnya dibebaskan pada 9 Jun depan atas kesalahan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Ujarnya, seorang banduan warga Nigeria merupakan saksi utama yang melihat suspek memukul mangsa dan telah cuba meleraikan pergaduhan itu.

“Suspek mengaku telah menumbuk bahagian sebelah mata dan pipi kanan mangsa sehingga dia terhantuk ke dinding.

“Setelah mangsa jatuh, suspek memijak bahagian paha lelaki itu menggunakan bahagian tumitnya dan menendang dada mangsa beberapa kali sebelum mengangkat dan menghumbannya di kawasan bilik air,” katanya.

Jelasnya, akibat pergaduhan itu mangsa mengalami kecederaan pendarahan di dalam kepala, benjolan di bahagian kiri kepala, luka di bahagian mata sebelah kiri dan telinga kiri.

Christopher berkata, suspek kini disiasat mengikut Seksyen 302 atas kesalahan membunuh yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI