BATU PAHAT- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas 3,000 rokok elektronik atau vape bernilai RM165,000 yang cuba diseludup masuk di perairan Terminal Feri Penumpang Minyak Beku dekat sini petang, semalam.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd. Haniff Mohd. Yunus berkata, rampasan dilakukan anggota yang melakukan rondaan Op Jaksa pada pukul 4 petang.
“Anggota yang menaiki bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan sebuah feri penumpang yang dalam pelayaran dari Selat Panjang Indonesia menuju masuk ke Jeti Feri Batu Pahat.
“Pemeriksaan ke atas feri berkenaan mendapati sebanyak 30 buah kotak mengandungi 3,000 unit berisi rokok elektronik disyaki cuba dibawa masuk secara haram dari negara jiran dan nilai anggaran berjumlah RMRM165,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Haniff berkata, nakhoda serta lapan kru feri berusia 22 hingga 55 tahun warga negara
Indonesia ditahan manakala kesemua rokok elektronik dirampas.
Ujarnya, kes akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana gagal isytihar barangan yang dibawa.-KOSMO! ONLINE