PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertolak dari bangunan Kementerian Kewangan ke Parlimen pukul 3.07 petang tadi untuk pembentangan Belanjawan 2023 Malaysia Madani.
Anwar yang juga Menteri Kewangan kelihatan membimbit beg fail warna hitam bermotif corak tenunan Sarawak berisi teks ucapan pembentangan Belanjawan 2023 selain dilihat segak berpakaian baju Melayu lengkap warna biru muda bersamping diiringi dua timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Steven Sim Chee Keong serta Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Datuk Johan Mahmood Merican.
“Samping ini daripada Penjara Penor, Kuantan Pahang dan capal dari Kepala Batas, Pulau Pinang,” katanya ketika memperkenalkan pakaian dipakainya.
Ditanya apa perasaannya selepas kembali membentangkan belanjawan selepas 26 tahun, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, beliau mahu menyempurnakan tanggungjawab.
Pembentangan belanjawan ini adalah yang pertama selepas Kerajaan Perpaduan dipimpin Anwar dibentuk pada 2 Disember lalu dan pastinya ia mengimbau kenangan buat beliau tampil kembali membentangkan bajet negara sebagai Menteri Kewangan selepas kali terakhir pada 26 tahun lalu. – KOSMO! ONLINE