KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengeluarkan sebanyak notis saman 186 notis saman terhadap pemandu warga asing dan pemilik kenderaan dalam Operasi Khas Pemandu Warga Asing (Pewa) di tiga lokasi di sini semalam.
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd. Misuari Abdullah berkata, dalam operasi yang dijalankan di Kok Lanas, Melor dan Ketereh di sini bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah malam itu, pihaknya turut menyita sebanyak 83 buah kenderaan yang dibawa oleh warga asing.
Menurutnya, siasatan mendapati, kebanyakan kenderaan yang disira digunakan oleh warga asing berusia 17 tahun hingga 60-an untuk bekerja di sektor pembinaan, menjual besi buruk dan membeli bahan mentah keperluan harian di pasar.
“Berdasarkan maklumat, mereka dipercayai membeli motosikal roda tiga dan motosikal secara ansuran dengan bayaran RM200 hingga RM300 sebulan. Selain itu, ada antara mereka menyewa secara harian daripada orang perseorangan atau majikan pada kadar RM5 hingga RM30.
“Daripada jumlah keseluruhan 83 buah kenderaan yang disita, ia melibatkan sebanyak tiga buah lori, kereta (8 buah), motosikal roda tiga (11 buah) dan motosikal (69 buah),” katanya pada sidang akhbar di Pejabat JPJ Kelantan, Panji di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Misuari memberitahu, Jabatan Imigresen turut menahan seramai enam lelaki iaitu seorang warga Pakistan dan lima warga Myanmar yang merupakan etnik Rohingya kerana tidak mengemukakan dokumen perjalanan sah dalam operasi itu.
Menurutnya, selain itu, Majlis Daerah Ketereh yang terlibat dalam operasi berkenaan mengeluarkan sebanyak 14 notis kompaun terhadap pemilik premis kerana kesalahan pelesenan.
Tambah Mohd. Misuari, ramai warga asing terutamanya etnik Rohingya dilihat membeli dan menyewa kenderaan milik warga tempatan untuk menjalankan pelbagai aktiviti di negeri ini. – KOSMO! ONLINE