fbpx

Wujudkan tabung Menu Rahmah di restoran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.
MOHAMMAD SHAHEMY AZMI,
WARTAWAN EKSEKUTIF

INISIATIF Menu Rahmah yang diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendapat reaksi positif daripada rak­yat.

Menu yang disajikan pada harga RM5 cukup berpatutan untuk mengisi perut orang ramai yang mungkin terpaksa mengikat perut kerana kekangan kewangan.

Melihat pada sudut positif inisiatif yang diperkenalkan itu, rakyat turut berharap agar program Menu Rahmah diperluaskan lagi terutama di kawasan luar bandar agar sama-sama mendapat manfaat.

Namun, persoalan timbul selama mana tempoh inisiatif Menu Rahmah ini akan diteruskan seandainya pengusaha makanan mengambil keputusan untuk menghentikan program tersebut atas faktor kos.

Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya tidak pernah meletakkan sebarang tempoh khusus berhubung pelaksanaan Menu Rahmah kerana perkara itu terpulang kepada peniaga sendiri.

Pakar ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, usaha untuk memanjangkan pelaksanaan program Menu Rahmah dapat dilakukan jika pihak pengusaha dan juga pelanggan saling bekerjasama tanpa mengharapkan sebelah pihak sahaja.

“Untuk peniaga, mereka perlu melihat inisiatif ini sebagai suatu usaha murni dalam perniagaan. Tapi kalau harapkan peniaga sahaja, ini dipanggil berat sebelah.

“Sebenarnya usaha ini juga perlu disambut oleh isi rumah (pelanggan). Bagaimana isi rumah boleh menyambutnya? Untuk yang berkemampuan, mereka boleh buat bayaran lebih jika membeli Menu Rahmah dan masukkan lebihan itu dalam ‘reserve purchase’.

“Sebagai contoh, pelanggan membeli makanan berharga RM30 dan membuat bayaran RM40. Lebihan RM10 itu boleh dimasukkan dalam akaun ‘reserve purchase’ untuk pelanggan lain yang tidak berkemampuan,” ujar Barjoyai.

Oleh itu, untuk pelanggan lain yang tidak mampu, mereka boleh bertanya dahulu kepada pengusaha makanan jika terdapat ‘reserve purchase’ yang boleh digunakan untuk membeli makanan di situ.

“Jika usaha ini dalam diwujudkan, tidak mustahil inisiatif Menu Rahmah dapat diteruskan dalam jangka masa panjang,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Penyelidikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid pula berpendapat jika pelaksa­naan Menu Rahmah ini diteruskan dalam jangka masa panjang, dikhuatiri bakal menjejaskan peniaga yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Kata Afzanizam, dia melihat ada peniaga terdiri daripada kelompok yang tidak mempunyai pendapatan yang menentu.

“Jaminan sosial mereka tidak seperti orang yang bekerja makan gaji kerana peniaga terdedah dengan pendapatan yang tidak menentu.

“Bagi saya, untuk melihat inisiatif Menu Rahmah ini diteruskan dalam jangka masa panjang melebihi enam bulan, agak susah sebenarnya kerana kos sentiasa naik. Perkara itu sekali gus akan menjejaskan margin keuntungan peniaga,” jelasnya.

Jelasnya lagi, jika inisiatif Menu Rahmah ini diteruskan, dikhuatiri peniaga terpaksa mengecilkan saiz hidangan untuk kekalkan harga murah sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap pengguna.

“Sudahnya pengguna kena belanja lebih juga untuk ‘kenyang’. Jadi saya berpendapat inisiatif ini hanyalah bersifat sementara.

“Untuk pastikan program ini dapat diteruskan dalam jangka masa panjang, pihak berwajib perlu mengambil langkah penyelesaian terbaik kerana sifat harga itu sendiri sangat kompleks.

“Perkara pertama yang perlu dilihat adalah penawaran. Contohnya sektor agro makanan. Jika kita banyak bergantung pada sektor luar (import), kita kena ganti dengan produk sendiri. Misalnya sektor pertanian. Adakah bentuk insentif yang kita ada cukup atau tidak,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI