SUNGAI PETANI – Seorang lelaki cedera selepas kereta dipandunya hilang kawalan lalu merempuh pagar besi dan pondok pengawal keselamatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent di Jalan Kolam Air di sini pada pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 pagi itu, mangsa, Mat Isa Ishak, 57, yang mengalami luka pada tangan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk rawatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian berlaku ketika mangsa memandu kereta jenis Toyota Corolla Altis dari Sungai Layar ke Pusat Kesihatan Daerah di sini untuk menjalani rawatan dialisis.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri sebelum melanggar pagar besi dan pondok pengawal keselamatan SMK Convent.
“Akibat kemalangan itu, kereta mangsa mengalami kerosakan di bahagian hadapan manakala mangsa luka pada tangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959. – KOSMO! ONLINE