JOHOR BAHRU – Seorang tukang kasut jalanan tidak lari daripada tanggungjawab menjaga dua anaknya yang masih kecil dengan membawa mereka ke tempat kerjanya untuk mencari rezeki ekoran tidak mampu untuk menghantar mereka ke pusat asuhan.
Muhammad Khairul Nizam Mohd. Tamyis atau lebih mesra disapa Sad, 24, berkata, sebelum ini dia membawa empat anak ke situ tetapi dua daripadanya telah dijaga oleh bekas isterinya sejak November tahun lalu.
Katanya, sebelum bercerai pada Mac 2022, dia terpaksa mengusung empat anak termasuk seorang yang masih bayi ke lokasi tempat dia mencari makan kerana tiada wang untuk menghantar ke pusat jagaan selain tidak mahu menyusahkan keluarganya.
“Tiga tahun saya membaiki kasut di hadapan sebuah bank di Taman Johor Jaya sambil mengusung anak-anak bersama. Pendapatan tidak menentu kerana ada hari ramai dan kadang-kadang sedikit sahaja pelanggan.
“Namun, saya bersyukur kerana ini sahaja kemahiran yang saya ada. Saya tahu membaiki kasut ketika mengikut bapa yang mencari makan di dalam pasar raya.
“Keadaan jadi mencabar apabila perlu menjaga anak dan menangis hendak susu tetapi dalam masa sama perlu membaiki kasut,” katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di Desa Cemerlang di sini kelmarin.
Menurut Sad, jika bayinya lapar, dia terpaksa ke kedai makan berhampiran untuk menyediakan susu dan akan menyambung kerja selepas anaknya tertidur.
Tambahnya, bebannya sedikit ringan apabila bekas isterinya menjaga dua anaknya di Bandar Baru Uda di sini sebelum pergi kerja sejak November lalu.
“Sebelum ini Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) ada menawarkan bantuan dan meminta saya berpindah ke premis lebih selesa tetapi saya tolak kerana takut kehilangan pelanggan,” katanya yang kini menetap di Taman Puteri Wangsa di sini bersama keluarganya.
Bagaimanapun, dia berharap MAIJ dapat mempertimbangkan permohonan untuk memberinya bantuan sara hidup secara bulanan bagi menyara keempat-empat anaknya yang masih kecil.
Terdahulu, tular satu video memaparkan Sad yang gigih membaiki kasut sambil mendodoikan anaknya.
Video itu meruntun hati netizen yang berlumba-lumba mahu membantunya.
Sementara itu, Pengurus Besar Econsave Cash & Carry Sdn. Bhd., Mas Imran Adam berkata, pihaknya memberi bantuan kepada Sad berbentuk barangan keperluan seperti susu dan barangan sekolah bernilai RM1,000.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Mohammad Khairul Nizam di talian 011-7007 1316 atau menyalurkan bantuan melalui akaun CIMB Bank miliknya di nombor 7641916668.