KUALA SELANGOR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mendapatkan dokumen berkaitan dalam siasatan dakwaan penyelewengan, yang mengakibatkan kerugian UiTM Holdings Sdn. Bhd. (UiTM Holdings) sebanyak RM157 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan perlu mengkaji dan membuat forensik terhadap akaun UiTM Holdings bagi mengetahui bagaimana berlakunya kehilangan wang tersebut.
“Tiada serbuan dibuat kerana perkara ini sudah lama. Jadi, kita dapat kerjasama daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan kita mendapatkan dokumen berkaitan.
“Jadi, pihak siasatan perlu mengkaji dan membuat forensik account terhadap account UiTM kerana ini satu perkara yang sudah berlaku, jadi kita kena lihat bagaimana kehilangan ini berlaku.
“Mungkin kehilangan banyak disebabkan projek tertentu, campur campur, maka ia menjadi makin tinggi,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan cawangan SPRM Kuala Selangor, hari ini.
Beliau memberitahu, SPRM pernah membuka siasatan berhubung kes UiTM Holdings dalam tempoh dua tahun lalu namun hanya fokus kepada satu atau dua isu sahaja.
“Bila timbul lagi isu ini, ada cumulative lost, pihak-pihak tertentu membuat aduan kepada sprm dan kita menyiasat tentang ada tidak berlakunya isu rasuah atau salah guna kuasa atau berada di bawah akta kita (SPRM).
“Jadi, saya ingin memberi faham, jangan ingat kadang-kadang apabila berlaku ketidakpatuhan dalam sesuatu isu atau perolehan atau sebagainya, adalah penting pegawai menyiasat melihat kepada angle di mana ada salah guna kuasa atau rasuah di situ yang dikatakan datang bersama-sama tindakan ketidakpatuhan itu. Jadi, ketidakpatuhan ini mungkin satu indikator,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan UiTM Holdings rugi RM157 juta berdasarkan kepada kiraan kerugian sebelum cukai terkumpul selama empat tahun iaitu bagi 2017, 2018, 2019 dan 2021.
Keuntungan sebelum cukai terkumpul yang dilaporkan bagi 2011, 2013, 2014, 2015 dan 2016 adalah sekitar RM26 juta. -KOSMO!ONLINE