fbpx

Ramai selesa sewa homestay berbanding hotel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kemudahan dapur yang disediakan di inap desa berdaftar ini menjadi tarikan ramai pelanggan. – GAMBAR HIASAN

KUALA TERENGGANU – Ruang penginapan lebih selesa, caj berbaloi dengan bajet dan pelbagai kemudahan disediakan terma­suk dapur menjadi punca ramai pelancong kini lebih selesa menyewa inap desa untuk percutian mereka.

Juruteknik, Fawwaz Salahudin, 29, mengakui dia lebih gemar menempah inap desa berban­ding bilik hotel dan resort setiap kali bercuti bersama keluarga atau kawan-kawan.

“Saya tidak gemar bercuti bersendirian, lebih meriah bersama ahli keluarga atau rakan-rakan.

“Keluarga saya sendiri agak besar iaitu sembilan beradik. Kalau bercuti dengan rakan-rakan juga biasanya lebih daripada lima orang.

“Jadi menginap di inap desa lebih selesa berbanding di hotel atau resort yang juga mempunyai pelbagai peraturan,” katanya kepada Kosmo!.

Dia yang berasal dari Machang, Kelantan itu memberitahu, kadar penginapan di inap desa juga berbaloi berbanding menyewa banyak bilik di hotel mahupun resort.

“Kita boleh menetap di inap desa yang mempunyai tiga bilik dan dua bilik air semurah RM250 sehari berbanding caj mungkin dua kali ganda atau lebih jika menempah bilik hotel.

“Jadual percutian juga lebih mudah diatur kerana menetap serumah berbanding duduk di bilik-bilik berasingan di hotel,” ujar­nya.

Sementara itu, Azammuddin Yusof, 31, pula berkata, penginapan di inap desa lebih ideal untuk percutian keluarga besar sepertinya, malah mereka boleh melakukan pelbagai aktiviti.

Katanya, lebih selesa bagi ibu bapanya yang sudah berusia dan sedikit uzur untuk bercuti bersama di inap desa yang merupakan rumah semi-D atau banglo berbanding perlu menaiki lif ke bilik hotel.

“Kemudahan dapur untuk memasak sendiri juga disediakan di inap desa. Bukan sahaja dapat menjimatkan duit, malah kami dapat masak menu kegemaran bersama-sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI