fbpx

Pemancing hilang selepas sampan pecah dilanggar pukat tunda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota Maritim melakukan operasi pencarian mangsa di sekitar perairan Sementa, Kapar.

KLANG – Seorang pemancing dilaporkan hilang selepas terjatuh dari sampan dinaikinya apabila dilanggar pukat tunda sebuah bot di pesisir pantai perairan Sementa, Kapar di sini, hari ini.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa, Raiman Suyud, 54, memancing di kawasan berkenaan bersama seorang rakannya, kira-kira pukul 5.30 pagi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata, kedua-dua lelaki itu dipercayai keluar memancing dengan sampan sejak pukul 11.30 malam kelmarin.

Katanya, sampan itu bagaimanapun telah dilanggar pukat tunda bot yang tidak memasang lampu navigasi.

“Pelanggaran itu mengakibatkan sampan berkenaan pecah dan kedua-dua mereka terjatuh ke laut.

“Seorang daripada mangsa tidak dapat berenang kerana kekejangan kaki dan hanyut manakala rakannya diselamatkan orang awam selepas berenang ke pesisir pantai,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Jelas Siva Kumar, Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru mengaktifkan operasi Carilamat pukul 11.20 pagi dan mengatur gerak bot Perkasa 36 ke lokasi kejadian.

Ujarnya, keluasan pencarian meliputi radius 10 batu nautika persegi di sekitar Perairan Sementa dengan dibantu Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan komuniti nelayan setempat.

“Sehingga pukul 7 petang tadi, mangsa belum ditemui sebelum operasi ditangguhkan atas faktor penglihatan terhad pada waktu malam.

“Pangkalan Hadapan Carilamat turut ditubuhkan di Jeti Pangkalan Nelayan Sementa, Kapar,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI