GEORGE TOWN – Sebanyak 50 foto yang memaparkan kisah kehidupan rakyat Ukraine selepas genap setahun tragedi serangan tentera Rusia pada 24 Februari tahun lalu akan dipamerkan menerusi Pameran Solidariti bermula esok sehingga Ahad ini.
Pameran sempena memperingati tragedi pencerobohan terbesar terhadap negara Eropah sejak Perang Dunia Kedua itu akan diadakan di Strait Quay, Tanjong Tokong di sini bermula pukul 12 tengah hari hingga 5 petang.
Konsul Kehormat Kedutaan Ukraine di Pulau Pinang, Datuk Seri Chuah Kim Seah berkata, pihaknya menyasarkan kehadiran kira-kira lebih 1,000 penghujung termasuk pelancong asing pada pameran yang julung kali diadakan itu.
Menurutnya, orang ramai berpeluang melihat secara lebih dekat momen-momen signifikan menerusi pelbagai sudut dan nilai gambar yang dirakam rakyat Ukraine serta jurugambar antarabangsa lain.
“Objektif utama penganjuran pameran foto ini adalah untuk mendekati para pengunjung tentang apa yang berlaku dan dialami dalam rutin kehidupan rakyat Ukraine sepanjang setahun selepas tentera Rusia melakukan serangan.
“Pelbagai foto-foto impak akan dipaparkan sepanjang tiga hari pameran berlangsung termasuk gambar keadaan pesawat kargo terbesar dunia, Antanov 225 buatan Ukraine yang musnah dibedil termasuk keadaan bandar, sekolah serta peluru berpandu yang tersasar di tengah jalan di Kyiv,” katanya pada sidang akhbar di sini.
Ekoran tragedi itu, lebih 11 juta daripada penduduk Ukraine terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing dengan mencari perlindungan di negara jiran atau di tempat lain. – KOSMO! ONLINE