fbpx

Mahkamah: Pegawai SPRM pujuk Syed Saddiq sokong Muhyiddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Saddiq ketika hadir bagi perbicaraan atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. - MOHD. FIRDAUS MOHD JOHARI

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) `memujuk’ Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengelakkan pendakwaaan dikenakan terhadapnya.

Syed Saddiq yang juga bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berkata, beliau diminta menyokong Muhyiddin sewaktu pihak SPRM menggeledah rumahnya dan ketika siasatan dijalankan.

Meskipun tidak mempunyai isu peribadi dengan Muhyiddin yang ketika itu Perdana Menteri, beliau menyifatkan permintaan pegawai berkenaan bagi mengelakkan pendakwaan terhadapnya, adalah salah.

“Beliau bersama saya hampir setiap hari ketika proses penggeledahan dan siasatan, namun adalah salah untuk meminta saya menyokong Muhyiddin bagi mengelak saya didakwa.

“Salah untuk beliau menyatakan bahawa SPRM menjadi alat politik ketika pertukaran kerajaan dan saya menjadi mangsa politik.

“Saya harap perkara ini akan diperbetulkan,” ujar Syed Saddiq ketika membela diri terhadap empat pertuduhan iaitu bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).

Ahli Parlimen Muar itu selaku saksi pembelaan pertama menyatakan demikian pada pemeriksaan semula yang dikendalikan oleh peguam Gobind Singh Deo.

Semalam, Syed Saddiq menyatakan, pendakwaan terhadapnya bermotifkan politik dendam manakala beberapa sahabatnya diugut memberikan kenyataan mengikut kehendak SPRM ketika siasatan dijalankan.

Ujar Syed Saddiq, ugutan tersebut terhenti apabila salah seorang rakannya bernama Hidayah membuat kenyataan media bahawa beliau diugut dan dikasari pegawai agensi itu ketika soal siasat manakala rakan lain membuat laporan polis.

Beliau ketika itu diminta oleh peguam Haijan Omar merujuk transkrip rakaman audio dikatakan perbualan di antara beliau dan seorang pegawai kanan SPRM dikenali sebagai Ihsan.

Dalam transkrip rakaman audio itu, Ihsan dikatakan cuba memujuk Syed Saddiq menyokong Muhyiddin kerana bekas Perdana Menteri itu yang membawa beliau memasuki Bersatu dan masih mengambil berat terhadapnya.

Pada prosiding hari ini, Gobind merujuk Syed Saddiq berhubung cadangan pendakwaan bahawa keterangannya di mahkamah merupakan suatu yang difikirkan semula (afterthought). – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI