KUALA KANGSAR – Seorang pemandu lori maut selepas tercampak keluar dari kenderaan dalam nahas di Kilometer 254.9, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 2.50 pagi itu, mangsa, Mohd. Asuat Azmi, 26, beralamat di Kuala Kedah, Kedah mengalami kecederaan parah dan maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kemalangan membabitkan lori simen dipandu mangsa dengan sebuah lori muatan tar dan kereta jenis Mercedes-Benz.
Katanya, nahas berlaku apabila mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan dan menyebabkan bergesel dengan kereta dan lori lain.
“Keadaan itu mengakibatkan lori dipandu mangsa terbabas merempuh penghadang besi di bahu kiri jalan lalu terbalik.
“Akibat kemalangan itu, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu lori dan kereta tidak cedera,” katanya.
Menurut beliau, ketiga-tiga kenderaan terlibat ditahan untuk pemeriksaan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE