LANGKAWI – Kira-kira 3,000 pelancong tidak melepaskan peluang menyaksikan fenomena laut terbelah yang berlaku selama sejam semalam dan kelmarin di Tanjung Rhu, di sini.
Fenomena itu berlaku kira-kira pukul 7.15 pagi semalam dan pukul 6.45 pagi kelmarin apabila air surut penuh itu menyebabkan satu beting pasir sepanjang 600 meter terbentuk.
Ia membolehkan orang ramai berjalan hingga ke Pulau Kelam Baya yang biasanya hanya boleh diakses menggunakan bot.
Pemandu pelancong alam semula jadi, Zoher Mustan, 58, berkata, lebih ramai pelancong datang menyaksikan fenomena itu tahun ini berbanding tahun lalu.
“Semalam (kelmarin) kira-kira 1,000 pelancong datang untuk berjalan atas beting pasir ini dan hari ini jumlah itu meningkat dua kali ganda,” katanya semalam.
Seorang pengunjung, Umira Morad, 33, berkata, dia pertama kali datang melihat beting pasir walaupun tinggal di Ayer Hangat, tidak jauh dari pantai tersebut.
“Saya bawa sedikit bekalan makanan untuk berkelah atas beting pasir bersama anak-anak.
“Kebetulan pula fenomena ini terjadi semasa cuti sekolah, jadi dapatlah anak-anak melihat sendiri fenomena ini,” ujarnya.
Seorang pemandu bot pelancong, Hisham Ismail, 42, berkata, dia diminta oleh pihak hotel berdekatan untuk bersedia dengan bot bagi kawalan keselamatan selama dua hari.
“Syukur tiada sebarang kemalangan berlaku, tetapi kami bersedia di bahagian kiri beting pasir ini kerana kawasan ini agak dalam dan mengingatkan pengunjung untuk tidak berjalan terlalu ke tepi bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” ujarnya.
Seorang pelancong dari Selangor, Zahirah Sulaiman, 33, berkata, dia teruja apabila dapat berjalan di atas beting pasir sehingga ke tengah laut.
“Kami kena cepat, kerana ia berlaku selama sejam sebelum paras air laut naik semula. Seronok tengok hidupan laut terdampar di sepanjang beting pasir ini,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE