PUTRAJAYA – Perkahwinan secara adat tradisional tanpa direkodkan pendaftaran menjadi punca utama ramai anak Orang Asli tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Perkara tersebut diakui sendiri oleh Ketua Pengarah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Sapiah Mohd. Noor pada sidang akhbar di agensi itu di sini hari ini.
“Kami ada buat kajian teliti sepanjang tahun lepas dan didapati amat ramai daripada kanak-kanak Orang Asli tiada sijil kelahiran kerana isu ibu bapa kahwin adat,” jelasnya.
Antaranya termasuk dokumentasi peribadi masyarakat Orang Asli yang menyebabkan anak mereka tiada akses untuk pendidikan selain menikmati rawatan kesihatan awam.
Mengulas lanjut, Sapiah berkata, masalah sering timbul apabila pasangan mendapat anak kerana mereka tiada bukti sijil perkahwinan secara formal untuk memohon sijil kelahiran.
“Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memang mahu dokumen itu dan ini menyebabkan pasangan ini terpaksa datang ke pejabat Jakoa untuk diberikan surat sokongan,” katanya.
Masalah berkenaan bukan baharu dan isu itu timbul kerana pihak kerajaan sebelum ini bimbang ada Orang Asli berkahwin secara senyap dengan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Situasi itu banyak membabitkan mereka yang kurang pendidikan asas dan dieksploitasi PATI berkenaan untuk mudah mendapatkan taraf kewarganegaraan melalui perkahwinan. -KOSMO! ONLINE.