KUALA LUMPUR – Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menyasarkan sebanyak 197 Indeks Prestasi Utama (KPI) merangkumi 832 aktiviti dan program seni budaya di seluruh negara sepanjang tahun ini.
Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohd. Yusri Mohd. Yusoff berkata, pelaksanaan program itu berasaskan lima teras iaitu asuhan kemahiran seni, pemuliharaan seni budaya, jangkauan seni budaya (JSB), pengukuhan seni dan budaya serta jaringan kerjasama kebudayaan.
“Pada tahun lalu, JKKN berjaya melaksanakan sebanyak 212 KPI melibatkan penganjuran program dalam talian dan fizikal. Kejayaan program itu adalah hasil jalinan kerjasama sangat baik daripada pelbagai pihak.
“Berdasarkan laporan media sosial program JKKN 2022, jumlah khalayak dan peserta secara fizikal seramai 483,803 orang, manakala jumlah penonton menyaksikan program-program secara talian sebanyak 801,782 penonton (view) serta PR Value sebanyak RM85,689,387.14,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Serlahan Seni Budaya JKKN 2023 di Menara Kuala Lumpur, hari ini.
Pada majlis itu, JKKN turut melancarkan Buku Mek Mulung ‘Bangkitnya Warisan Turun-Temurun / A Heritage Rediscovered’ yang merupakan penerbitan ulung JKKN dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) melalui Konservatori Muzik, Kolej Pengajian Seni Kreatif dan Penerbit UiTM. – KOSMO! ONLINE.