PETALING JAYA – Menteri Dalam Negeri Turkiye, Suleyman Soylu semalam memaklumkan bahawa angka kematian mangsa gempa bumi di selatan Turkiye pada 6 Feb lalu kini mencecah 43,556 nyawa.
Soylu mendedahkan angka berkenaan ketika siaran langsung di Hatay yang merupakan satu daripada 11 wilayah yang mengalami bencana terbabit.
Menurut Soylu, kerajaan memerlukan tempoh masa tertentu untuk bertindak balas susulan berhadapan dengan situasi 26,000 kediaman runtuh pada satu jam pertama seterusnya melanda kawasan seluas 110,000 kilometer persegi.
Terdahulu media melaporkan gempa bumi yang berpusat di Kahramanmaras itu turut memberi impak terhadap 10 wilayah lain termasuk Hatay, Gaziantep, Adiyaman, Malatya, Adana, Diyarbakir, Kilis, Osmaniye, Sanliurfa dan Elazig.
Sehubungan itu, Presidennya, Recep Tayyip Erdogan memberitahu Turkiye akan memulakan pembinaan kediaman sebanyak lebih 200,000 pada awal bulan Mac ini di kawasan bencana dan pembinaan dijangka siap dalam tempoh satu tahun. -KOSMO! ONLINE